Video

Thursday, November 25, 2010

HALUAN Pahang korban 9 ekor lembu 4 ekor kerbau sempena Sambutan Hari Raya Korban

KUANTAN, 18 November - Sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha tahun ini, HALUAN Pahang telah mengadakan program ibadah penyembelihan binatang korban sebanyak sembilan ekor lembu dan empat ekor kerbau di dua daerah berasingan Kuantan dan Temerloh. Di Kuantan program yang telah diadakan di Sekolah Rendah Ibnu Abbas, manakala di Temerloh di Taman Bahagia, Taman Temerloh Makmor dan Maahad Tahfiz Berhala Gantang.

Program yang dijalankan selepas solat sunat hari raya ini telah diadakan dengan lancar dan berakhir dengan jamuan makan tengahari gulai kawah daging korban. Di Kuantan sebanyak lima ekor lembu dikorbankan pada hari raya pertama dan seekor telah disumbangkan kepada komuniti masyarakat pelarian Rohingya (UNECF) yang miskin dan dhaif disekitar kampung Balok dan Sg. Ular.

Menurut penyelaras program di Kuantan Tn. Hj Ahmad Zakhir b. Abdullah, program tahunan ibadah qurban ini sentiasa mendapat penyertaan yang menggalakkan dari ahli HALUAN dan masyarakat setempat. Kehadiran masyarakat setempat bagi membantu kerja menumbang, melapah dan memproses daging lembu adalah amat menggalakkan. Begitu jua di Temerloh, tradisi berkorban kerbau masih diteruskan dengan kerjasama ahli qariah Masjid Ubudiyah Batu 1 dan masyarakat setempat.

Mereka dengan sukarela datang membantu dan ianya telah mempercepat dan melancarkan urusan memproses lembu hingga ke makan tengahari dan mengagihkan daging kepada penduduk miskin disekitar dan hadirin yang hadir.

Menurut YDP HALUAN Pahang, Hj Tg Abdul Rashid b Tg Othman yang turut sertai program ini, program ibadah qurban ini selain daripada memenuhi tuntutan pengorbanan sebagai syiar dalam Islam ianya boleh menjadi jambatan penghubung HALUAN dengan masyarakat sekitar. Mereka kelihatan selesa dengan pendekatan yg di bawa oleh ahli HALUAN dan mudah bergaul dan bekerjasama tanpa mengambil kesempatan setiap tahun program ini diadakan.

Bertambah menarik dan bererti program ini ialah penglibatan anak-anak ahli dan remaja dikalangan pelajar IPT dan pelajar sekolah. Di Kuantan, penglibatan HALUANita Pahang juga baik dan mereka turut memeriahkan majlis dengan bergotong royong memasak sup dan gulai kawah untuk hidangan tengahari. Haluan Pahang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah datang membantu menyempurnakan program pada tahun ini.


Disediakan oleh,
Sdr. Abd. Bashir Abd. Ghani
Wakil MediaHALUAN Pahang
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "HALUAN Pahang korban 9 ekor lembu 4 ekor kerbau sempena Sambutan Hari Raya Korban"

Post a Comment