Program ini berfokuskan kepada pelajar sekolah menengah yang telah menjadi ahli KeARAH dalam rangka menyatukan para ahli dari Pahang, Terengganu dan Kelantan. Kem yang bertemakan “KeARAH Menongkah Cabaran”, telah berjaya membangkit semangat peserta di sepanjang program yang telah dijalankan di Tasik Kenyir, Terengganu.
Alhamdulillah, seramai 152 peserta yang terdiri daripada 70 peserta putera dan 82 peserta puteri telah berjaya menghadiri kem tersebut yang bermatlamat untuk membina dan memupuk ukhuwwah serta memperkenal dan membimbing peserta tentang cara dan kepentingan bekerja secara berorganisasi. Selain itu, kem ini direncana untuk mewujudkan sifat kerjasama dikalangan peserta dan melahirkan peserta yang mempunyai jati diri dalam pelbagai aspek dan mampu menjadi pemimpin masa depan.
Komandan KAHFI kali ini adalah Saudara Ahmad Faris bin Zakaria dengan dibantu oleh saudari Dhabitah Thaqifah bt Yaziz bersama dengan kekuatan fasilitator seramai 10 siswa dan 14 siswi dari pelbagai IPT. Kem ini dipimpin oleh pengarah muda, saudara Mu’adz bin Mohd Fauzi dan saudari Mariah Fadhilah binti Hasnan sebagai timbalan pengarah. Secara keseluruhan, perjalanan kem ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, Alhamdulillah.
Pelbagai slot menarik dihidangkan buat para peserta. Antaranya slot yang dinantikan oleh remaja KeARAH iaitu bersama En. Razali Maarof, pakar motivasi dari HALUAN dan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD). Beliau mengupas tajuk "Cabaran Remaja Masa Kini" yang telah berjaya menghidupkan suasana teruja kepada para peserta tatkala mendengar kupasan bersemangat dari beliau.
Sebagai persediaan dan langkah memantapkan tarbiah ahli KeARAH, tajuk "Tarbiah Dzatiyah" dibicarakan agar para peserta merasai kepentingan proses tarbiyah kendiri dalam membina peribadi remaja. Tajuk tersebut telah dikupas oleh Cikgu Kamaruddin Deraman, Timbalan Yang Di-Pertua HALUAN Kelantan.
Peserta turut melalui aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK), aktiviti KAHFIrace dan “Aqidah Night” bagi menguji ketahanan mental, jasmani dan rohani peserta. Sesuai dengan pepatah arab yang bermaksud otak yang cerdas berada pada badan yang cergas, ia amat bertepatan dengan objektif keempat kem iaitu membina kecergasan para peserta. Dengan berbekalkan ketaqwaan yang dipupuk di sekolah dan KAHFI, diharap para peserta dapat memanfaatkan cuti penggal persekolahan dengan aktiviti yang bermanfaat.
Semoga bekal yang peserta perolehi berjaya mengawal nafsu yang sentiasa bergelojak dan iman peserta mengondol juara dalam pertarungan mujahadatul nafs ini. Peserta perlu implementasikan tarbiah Dzatiyah dalam diri kerana hanya itulah yang membawa diri peserta dalam menongkah mencabar dalam kehidupan ini. Jazakallahukhairan wa jaza’ diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan KAHFI 2010 Timur ini. Semoga amalan ini dijadikan pemberat mizan di akhirat kelak, InsyaAllah.
0 comments: on "152 Ahli KeARAH Jayakan KAHFI Timur"
Post a Comment