Video

Tuesday, November 16, 2010

Aidiladha: Lembu, Merapi, Pengorbanan dan Kebersamaan


Pertamanya, selamat menyambut Hari Raya Idul Adha atau Idul Korban buat semua umat Islam. Kepada para haji di Mekah, semoga Allah permudahkan amalan kalian dan beroleh haji mabrur. Amin. Kepada yang belum berkesempatan melaksanakan rukun Islam ke 5 ini, raihlah semangat, ganjaran pahala dan ibrah di sebalik tarbiah yang terdapat dalam bulan Zulhijjah yang mulia ini.

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)”.
Program Korban

InsyaAllah saban tahun ribuan lembu, sapi, kambing dan unta akan dikorbankan di sepanjang 11 – 13 Zulhijjah di seluruh dunia. Sangat banyak hadis Rasulullah saw yang menerangkan tentang keutamaan berkorban, dan di dalamnya terdapat pelbagai rahsia dan hikmah yang sangat besar. Hadis-hadis tersebut di antaranya:

"Tiada suatu amalanpun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah swt selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu". (HR. Tirmidzi dan Ibn Majah)

"Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: "Ya Rasulullah, apakah Ud-hiyyah (korban) itu?". Rasulullah menjawab: "Itulah sunnah ayahmu Ibrahim". Para sahabat kembali bertanya: "Apakah yang kita akan peroleh dari Ud-hiyyah itu?". Rasulullah menjawab lagi: "Pada setiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan itu) kita akan mendapat satu kebajikan". (HR. Ahmad dan Ibn Majah)

Daripada penjelasan beberapa hadis di atas, maka jelaslah bahawa amalan korban itu adalah amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam dan juga sunnah yang diwarisi dari Nabi Ibrahim a.s. Bagi orang-orang yang melaksanakan korban, ia akan dapat satu kebajikan daripada setiap helai bulu haiwan yang telah dikorbankan itu. Selain itu juga korban tersebut akan memperoleh manfaat atau faedahnya jika sekiranya korban tersebut benar-benar dilaksanakan kerana Allah dengan tujuan untuk menegakkan sunnah dan terlepas dari maksud dan tujuan yang lain. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Dan binatang-binatang korban itu Kami jadikan buat kamu sebagai sebahagian dari upacara-upacara (agama) Allah. Padanya ada kebaikan bagi kamu. Oleh kerana itu sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya dalam keadaan berbaris-baris. Maka apabila gugur (sembelihan-sembelihan itu), makanlah daripadanya dan berilah makan fakir yang menjaga kehormatan dan fakir yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan binatang-binatang) itu untuk kamu agar kamu bersyukur".

InsyaAllah HALUAN Malaysia melalui Biro Kebajikan HALUAN Pusat meneruskan usaha menganjurkan program korban buat sekian kalinya ke begara-negara Islam yang memerlukan. Saat ini wakil HALUAN, saudara Mohamad Fadzil Husin (Setiusaha Kerja HALUAN Pusat) bersama Hj. Razali Mohd Jamil (Timb YDP HALUAN Perak) berada di Vietnam dan Kemboja bagi menguruskan program korban yang melibatkan 100 ekor lembu. Begitu juga di Malaysia, HALUAN negeri turut akan mengadakan program-program korban mereka bersama masyarakat setempat dan perkampungan orang asli. Tahniah dan terima kasih kepada ahli HALUAN dan masyarakat Islam di Malaysia yang terus memberi kepercayaan menyertai program Korban bersama HALUAN.

Merapi dan Pengorbanan
Pada saat ini juga seramai 4 orang relawan HALUAN yang merupakan kumpulan pertama relawan-relawan Misi Kemanusiaan Merapi (MKM) anjuran HALUAN berada di Yogjakarta, Indonesia. Misi ini adalah merupakan antara usaha HALUAN bagi membantu secara terus mangsa-mangsa bencana letusan gunung Merapi di Jawa Tengah, Indonesia. Gunung Merapi yang mula meletus pada 26 Oktober lalu sehingga kini telah mengorbankan lebih 150 nyawa. Merapi atau apapun bencana yang menimpa manusia seperti banjir, tsunami dan sebagainya adalah merupakan sunnah Allah swt. dalam menguji manusia seluruhnya. Kepada kita yang diberikan kelebihan kenikmatan dunia dan keamanan negara, marilah kita membantu saudara kita yang memerlukan. Daripada Rasulullah s.a.w. dengan mafhumnya,

"Allah akan menolong seorang hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya.” [Hadis riwayat Muslim]

Atas semangat inilah justeru HALUAN sentiasa berusaha mendidik dan berbakti sekadar kemampuannya kepada masyarakat yang memerlukan bantuan. 4 orang relawan HALUAN yang berada di Jawa Tengah ini mewakil ribuan ahli HALUAN dan masyarakat muslim di Malaysia. Mereka berkorban seadanya meninggalkan ahli keluarga dan kebiasaan kehidupan lantas berbakti di sana. Marilah kita sama-sama mendoakan keselamatan mereka dan semoga pengorbanan mereka ini diberkati Allah swt.

Sesungguhnya bulan Zulhijjah penuh dengan ruh jihad mengajar umat Islam untuk berkorban, taat dan bersabar. Kisah Nabi Ibrahim as, Siti Hajar, Sarah dan Nabi Ismail menjadi ibrah yang besar kepada kita semua yang mahu mengambil pelajaran.
Kisah dan keteladanan nabi Ibrahim a.s. memberikan pelajaran yang sangat mendalam kepada kita bahawa pengorbanan akan melahirkan keberkahan. Nabi Ibrahim as. menjadi orang yang paling dicintai Allah, khalilullah, imam, abul anbiya (bapa para nabi), hanif, sebutan yang baik, kekayaan harta yang melimpah ruah, dan banyak lagi. Hanya dengan pengorbananlah kita meraih keberkahan.

Apabila kita bertanyakan pada diri kita semua, pada saat ini sudah segigih mana kita umat Islam berkorban untuk umatnya. Hakikatnya pengorbanan akan memberikan keberkahan bagi kehidupan kita, keluarga kita dan umat Islam. Pengorbanan akan melahirkan peradaban besar. Kisah para pahlawan yang berkorban telah membuktikannya; Nabi Ibrahim as. dan keluarganya – Ismail, Ishaq, Siti Sarah dan Hajar; Muhammad saw. dan keluarga baginda – Siti Khadijah, ‘Aisyah, Fatimah, dan lain-lain.

Begitu juga para sahabat yang mulia; Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, dan lain-lain. Para pemimpin setelah sahabat, tabi’in, dan tabiit tabi’in; Umar bin Abdul Aziz, Hasan Al-Basri, Muhammad bin Mubarak, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As-Syafi’i, dan Imam Ahmad. Tidak ketinggalan para pahlawan dari generasi moden juga telah mencontohkan kepada kita. Mereka di antaranya Hasan Al-Banna, Syed Qutb, Syeikh Ahmad Yasin dan ramai lagi. Dan kita yakin akan terus muncul lagi pahlawan-pahlawan baru yang siap berkorban demi kemuliaan Islam dan umatnya. Sesungguhnya, bumi yang disirami oleh pengorbanan para nabi, darah syuhada, pada da’i yang ikhlas dan tinta ulama’ adalah bumi yang berkah.

Kebersamaan
"Sesungguhnya orang-orang mu'min adalah bersaudara karena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (QS. 49:10)

Sesungguhnya Hari Raya Idul Adha juga merupakan momentum yang tepat untuk kita mendalami makna di sebalik ritual ibadah haji yang melambangkan kebersamaan dan kesatuan umat. Hikmah ibadah haji merupakan taburan mutiara yang indah. Di dalamnya mentarbiyah kita tentang solidariti sosial, ukhuwah Islamiyah, perdamaian, kesucian, kebersihan, kepedulian terhadap umat Islam yang lain melalui agihan sembelihan korban. Syariat berkorban menegaskan bahawa umat Islam memiliki empati dan simpati antara sesama kita, menguatkan hubungan dengan Allah SWT dan juga menguatkan hubungan sesama manusia, dan itu merupakan penegasan bahawa kebersamaan adalah nilai keutuhan umat.

Justeru idul Adha atau idul korban merupakan bentuk pengorbanan sebagai buah dari kesedaran akan nilai-nilai luhur dalam hal perjuangan menghindari egoisme peribadi dan juga kelompok. Kita adalah umat yang bersaudara yang asasnya adalah bertaqwa kepada Allah. Hanya generasi yang bertaqwa mampu memimpin umat untuk bersatu hati menjiwai semangat kebersamaan.

Kepimpinan Nabi Ibrahim as., adalah prototype manusia atau hamba Allah yang semenjak awal tidak mementingkan diri sendiri bahkan juga terhadap kelompoknya. Bagi Nabi Ibrahim as., yang terpenting adalah bahawa setiap perbuatan harus ikhlas dilaksanakan, diabdikan untuk mensyukuri kurnia Allah swt. yang telah banyak dilimpahkan serta dikerjakan untuk membawa mashlahat (kebaikan) bagi manusia dan alam, tanpa membeza-bezakan darjat, agama, geografi dan bangsanya. Dengan demikian, Nabi Ibrahim as., merupakan simbol keteladanan sosial bagi kita semua, menjalin kebersamaan dan menebar empati untuk semua”. Kepimpinan ini diteruskan oleh junjungan besar yang kita kasihi, Rasulullah saw.

Penutup
Zulhijjah akan berlalu sebagaimana berlalunya Ramadhan dan juga bulan-bulan yang lain. Peluang demi peluang Allah berikan untuk kita nikmati rahmat dan nikmat-NYA juga Rahman dan Rahimnya Allah. Moga Zulhijjah kali ini membawa pengertian yang lebih mendalam bagi setiap kita. Penghayatan yang lebih hakiki dan ikhlas demi melahirkan tindakan dan perlakuan yang seiring dengan apa yang telintas di hati. Harapan agar baki usia yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin demi memastikan tempat yang indah di 'sana' nanti.

Oleh: Mohd Razali Maarof (mantan Ketua Biro Latihan HALUAN Pusat), Pengurus Pembangunan dan Hubungan Luar, Kolej Teknologi Darulnaim, http://usrahkeluarga.blogspot.com

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Aidiladha: Lembu, Merapi, Pengorbanan dan Kebersamaan"

Post a Comment