Video

Thursday, October 14, 2010

80 PELAJAR FELDA CHINI SERTAI KEM MOTIVASI PECUTAN AKHIR SPM 2010

KUANTAN, 11 Oktober - Seramai 80 orang pelajar putera dan puteri yang akan menduduki peperiksaan SPM hujung tahun ini dari 2 buah sekolah menengah di Felda Chini, Pekan telah mengikuti program Motivasi Pecutan Akhir SPM yang diadakan di Taman Pertanian Indera Mahkota pada 9 hingga 10 Oktober yang lalu.

Program ini telah dianjurkan oleh HALUAN Pahang bersama Jabatan Belia Dan Sukan Pahang dengan kerjasama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SMK Chini dan SMK Chini 2.

Tujuan program ini ialah untuk memberi pendedahan tentang persiapan akhir menghadapi peperiksaan di samping menaikkan semangat dan motivasi pelajar agar lebih bersedia menduduki peperiksaan dan berjaya mencapai keputusan terbaik.

Di dalam program ini pihak HALUAN Pahang selaku penyelaras program ini telah mendapat khidmat motivator dan fasilitator dari Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) Kelantan, Kelab Fasi Muda Haluansiswa dan siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Beberapa modul telah diterap dan dijalani oleh pelajar-pelajar ini termasuklah persediaan minda yang positif, santapan roh, teknik menjawab soalan dan hala tuju selepas SPM kelak.

Menurut YDP HALUAN Pahang, Tg Abd Rashid Tg Othman, program seumpama ini julung kalinya diadakan membabitkan pelajar dari luar bandar khususnya dari Felda Chini. HALUAN mendapat kerjasama yang amat baik dari Pengetua dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kedua-dua buah sekolah.

Menurut beliau lagi, pelajar-pelajar sangat teruja dapat menyertai program yang diadakan dalam bentuk kem dengan pelbagai aktiviti-aktiviti termasuklah perkhemahan, solah berjemaah, qiamullail, kuliah subuh, ceramah motivasi, forum kecemerlangan siswa, perkongsian pengalaman mercu kejayaan bersama pensyarah dari UMP dan `team building`.

Pelajar-pelajar telah menunjukkan minat, semangat dan komitmen yang tinggi dalam setiap aktiviti yang dianjurkan walaupun agak keletihan kerana aturcara yang padat. Mereka kelihatan begitu ceria dan gembira sepanjang program berjalan. Melalui sesi muhasabah yang dijalankan semua pelajar sangat berpuas hati dengan modul yang telah mereka jalani dengan tunjuk ajar serta bimbingan ikhlas dari para fasilitator dari KTD dan Haluansiswa.

Sentuhan mesra bersifat sifat kasih sayang, sedia berkorban dan contoh akhlak baik yang menjadi teras setiap program anjuran HALUAN ini membuatkan pelajar dapat merasai kelainan luar biasa dan bertambah yakin untuk memperbaiki diri dan berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai kejayaan dalam SPM serta hidup berpandukan pegangan agama dengan lebih kukuh.

Program berakhir dengan ucapan-ucapan oleh wakil Pengetua SMK Chini 2, Ustazah Rosmawati, Pengerusi PIBG SMK Chini, En Sarjoni Konteng dan ucapan penutup oleh Timbalan YDP HALUAN Pahang Tn Hj. Ramli b. Ngah.

Dalam ucapan penutup, Timbalan YDP HALUAN Pahang menjelaskan bahawa HALUAN Pahang akan terus berusaha memberi khidmat pendidikan dan kebajikan terbaik kepada masyarakat yang memerlukan selaras dengan moto HALUAN iaitu berakhlak, mendidik dan berbakti. Masalah kewangan bukanlah menjadi halangan untuk mengadakan sesuatu program kerana sekiranya kita ikhlas dan berusaha lebih nescaya Allah SWT akan membantu mempermudahkan urusan kita.

Akhir kata beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama di dalam membantu menjayakan program ini termasuklah Jabatan Belia Dan Sukan Pahang yang sudi memberi peruntukan kewangan, pihak UMP Pahang, PIBG SMK Chini, motivator serta fasilitator dari KTD serta pihak pengurusan Taman Pertanian Indera Mahkota.

Semua peserta dianugerahkan sijil penyertaan dan dibawa melawat Expo Konvokesyen kampus Universiti Malaysia Pahang, Jalan Gambang sebelum pulang dengan menaiki 2 buah bas UMP Pahang.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "80 PELAJAR FELDA CHINI SERTAI KEM MOTIVASI PECUTAN AKHIR SPM 2010"

Post a Comment