Muqaddimah

Tujuan Allah SWT menciptakan manusia ialah untuk berubudiyah kepada Allah SWT berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam Surah Adz Dzariyat ayat 56 yang bermaksud:

“ Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia, hanyasanya untuk berubudiyah kepadaku.” ( Adz Dzariyat 51 : 56)

Puasa ialah salah satu bentuk ubudiyah yang difardukan khusus di dalam bulan Ramadhan bagi melahirkan mukmin bertaqwa dalam erti kata yang sebenarnya.

Ia adalah ibadah yang dituntut bagi melahirkan bentuk ubudiyah yang lebih besar dan menyeluruh meliputi ibadah-ibadah yang lain seperti solat, mengeluarkan, mengerjakan haji dan lain-lain. Dan kehadiran bulan Ramadhan adalah salah satu bentuk proses untuk menghasilkan taqwa yang diredhai oleh Allah SWT.

Ramadhan Bulan Kecintaan dan Kerinduaan

Pernah digambar di dalam sirah para sahabat Rasulullah SAW bahawa mereka adalah satu kelompok manusia yang sangat merindui dan mencintai kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak. Rasulullah SAW dan para sahabat sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT dengan harapan agar dapat menjejaki kaki dan merasai penghayatan ibadah di bulan yang barakah ini.

Satu harapan daripada doa yang sentiasa diulang-ulang agar mereka dapat menghirupkan lagi udara ibadah di dalam Bulan Ramadhan. Kenapa para sahabat begitu teruja dengan kehadiran Ramadhan?

Sudah tentu, padanya terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan yang sangat banyak dan berharga. Jelas kepada kita, Ramadhan adalah bulan yang sangat indah dan cukup istimewa dihati orang-orang yang beriman. Inilah bulan pendidikan dan bulan peningkatan Iman.

Firman Allah SWT :

“ Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)..” ( Al- Baqarah 2 : 185)

Di dalam fokus kali ini, kita akan melihat beberapa perkara yang akan menjadi tumpuan di dalam membicarakan soal Ramadhan. Perkara yang akan dilihat ini boleh dilihat dari sudut input, proses dan outcome dalam menghadapi Ramadhan. Input boleh kita gambarkan sebagai titik tolak dan persiapan yang akan menjadi pemacu kepada proses Ibadah yang akan dilaksanakan di dalam Bulan Ramadhan. Proses pula ialah aspek perlaksanaan aktiviti-aktiviti yang akan mendidik jiwa dan hati untuk mencapai target serta menghasilkan outcome yang dihajati setelah melalui bulan Ramadhan. Manakala, outcome pula ialah hasilan daripada proses yang telah dijalani sepanjang bulan Ramadhan iaitu menjadi mukmin yang bertaqwa.

Input Menghadapi Ramadhan

Di dalam melaksanakan sesuatu perkara, menyediakan persediaan jiwa dan persiapan hati merupakan sesuatu yang sangat penting. Seharusnya, Ramadhan itu dilalui dengan niat yang bersih dan menetapkan satu “mindsetting” yang betul agar titik tolak Ramadhan itu betul, sahih dan mengikut acuan syara’.

Para ulama menyifatkan Ramadhan sebagai satu madrasah ( institusi pendidikan seperti kolej atau sekolah). Sebagai sebuah sekolah sudah tentulah ia mempunyai matlamat, sistem kurikulum yang tersendiri.

Peranan utama Ramadhan ialah melahirkan para graduan yang bertakwa apabila individu itu benar-benar melalui sistem dan kurikulum selama berada di madrasah ini.

Seharusnya, di dalam menghadapi bulan Ramadhan seseorang itu harus melakukan persiapan dan penyediaan yang meliputi daripada pelbagai aspek dan memahami hakikat sebenar kehadiran Ramadhan sebagai institusi pentarbiyah jiwa dan mendidik muslim mukmin untuk mencapai taqwa. Jika kita lihat kepada sirah generasi para sahabat Baginda Rasulullah SAW, hati dan jiwa mereka sentiasa segar mengingati bulan Ramadhan. Sepanjang enam bulan pertama sebelum tibanya bulan Ramadhan para sahabat akan bersungguh-sungguh berdoa agar diberi peluang untuk berada di bulan Ramadhan.

Antara input yang perlu ada dalam diri seorang individu dalam melaksanakan persiapan Ramadhan ialah memahami sistem Islam itu dan menghayati tuntutan ibadah puasa serta ibadah lain yang akan dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan. Sekiranya ini berlaku, ia umpama mindsetting kepada individu tersebut bahawa kehadiran bulan Ramadhan adalah seperti kursus intensif di dalam proses penyucian jiwa bagi melahirkan jiwa-jiwa yang bersih dan jernih. Jiwa sebeginilah yang dihajatkan bagi memperolehi darjat yang tinggi di sisi Allah SWT.

Persekitaran yang baik dan amalan-amalan kebaikan yang dilaksanakan seharian di dalam kehidupan juga boleh menjadi salah satu bentuk persiapan bagi menghadapi ibadah di bulan Ramadhan. Ia akan memudahkan dari segi aspek perlaksanaan amalan soleh di dalam bulan Ramadhan kerana suasana-suasana yang baik dan soleh ini mampu memberi rangsangan dan dorongan kepada seseorang untuk memiliki perasaan dan keghairahan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Selain daripada itu, persiapan yang menyeluruh meliputi aspek fakulti keinsanan iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek harus berjalan dengan seimbang dan bersepadu. Ia menjelaskan kepada kita bahawa, persiapan menghadapi bulan yang penuh rahmat dan barakah ini wajar dipersiapkan dengan persiapan yang holistik, menyeluruh dan seimbang. Sehubungan dengan itu, medan yang terbaik untuk melakukan persiapan ini harus bermula seawal bulan Rejab dan teruskan di bulan Syaaban agar seseorang itu melangkah ke bulan Ramadhan dengan persediaan yang rapi meliputi segala aspek.

Input inilah yang harus menjadi agenda utama di dalam persiapan diri seseorang yang inginkan Ramadhan sebagai medan ibadah yang terbaik di dalam kehidupannya. Persiapan menyuburkan persekitaran dengan amalan yang soleh, persediaan yang meliputi aspek fakulti keinsanan dan perlaksanaan amal perlu diseimbangkan agar Ramadhan yang dilalui itu menghasilkan bunga-bunga ketaqwaan yang akan menghiasi taman-taman kehidupan seseorang mukmin itu sendiri.

Proses pentarbiyahan Ramadhan

Setibanya di bulan Ramadhan, bagi individu-individu yang telah melakukan persiapan dan persediaan yang rapi maka mereka akan melalui proses ibadah di bulan Ramadhan dengan penuh perasaan kecintaan, kerinduan serta dibakar dengan semangat yang berkobar-kobar dan membara . Bulan yang penuh barakah dan rahmat ini, akan dihayati dan disyukuri kehadirannya dan secara tidak langsung akan dipenuhi dengan segala bentuk ibadah kepada Allah SWT dengan niat yang bersih serta sentiasa melaksanakannya dengan sempurna agar ia benar-benar dikira sebagai amalan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada Allah SWT.

Ibadat puasa itu sendiri merupakan sumber motivasi dalam membina potensi, semangat dan kekuatan muslim. Sekiranya ia dilakukan dengan penuh kesedaran dan dilaksanakan dengan perlaksanaan yang terbaik maka jiwa manusia dapat dibebaskan daripada kongkongan nafsu yang bersifat keduniaan dan kebendaan. Proses ini seterusnya akan melahirkan individu yang jiwanya penuh merasai kehambaan kepada Allah SWT dan bukannya menjadi hamba kepada nafsu.

Berikut ialah aktiviti-aktiviti ibadah yang boleh dilaksanakan sepanjang proses pendidikan jiwa dan pembersihan hati di dalam bulan Ramadhan :
Bil Aktiviti Ibadah Keterangan
1 Persiapan Ilmu dan Iman

* Ilmu adalah input, eleman dan unsure terpenting bagi memandu manusia untuk melaksanakan sesuatu ibadah dengan betul dan sempurna. Dengan ilmu, ibadah tersebut akan dilaksanakan dengan bersumberkan Al-Quran dan As Sunnah.
* Persediaan iman merupakan pra syarat utama bagi melayakan individu muslim menerima amanah Ramadhan ini. Seharusnya, satu perancangan dilakukan dengan meletakan matlamat, strategi, pelan tindakan, dan kawalan

2 Solat

* Pertingkatkan ibadah solat dari segi kesempurnaan, dan banyak melaksanakan solat secara berjemaah. Pada masa yang sama juga lazimkan diri dengan memperbanyakan solat-solat sunat seperti solat sunat taubat, hajat dan dirikan solat malam sepanjang bulan Ramadhan

3 Puasa

* Puasa merupakan medan untuk membulatkan keazaman, kesabaran, dan ketabahan hati kepada Allah SW. Puasa ini merupakan medan latihan yang memerlukan ketabahan dalam menanggung kesusahan dan menghadapi kesulitan. Tingkatkan mutu dan kualiti ibadah puasa dengan sentiasa menyemaknya dari semasa ke semasa.

4 Al-Quran

* Bulan Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Bulan kita dianjurkan untuk perbanyakan membaca dan mentadabur Al-Quran. Bukan sahaja membaca tetapi juga, memahami erti Al-Quran, dan mengamalkannya dalam kehidupan. Al-Quran merupakan jalan pembersihan hati , terkandungnya pelbagai hikmah, punca pancaran hidayah, sumber penawar sanubari dan kaedah menghidupkan hati yang sangat penting bagi seluruh manusia.

5 Solat sunat terawih

* Solat sunat terawih adalah solat sunat mu’akadah yang sangat dituntut dan boleh dikerjakan sendiri atau berjemaah. Ia adalah syiar dan memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan muslim.Dan solat sunat ini hanya ada semasa bulan Ramadhan sahaja. Terawih bermaksud rehat. Kerehatan yang memberikan kemanisan beribadah dan menyegarkan jiwa serta hati kepada sesiapa yang melaksanakannya dengan ikhlas.

6 Muhasabah

* Menghisab dan memperbaiki hubungan kita dengan Allah SWT adalah jalan-jalan membina rasa kehambaan kepada Allah SWT. Ia adalah sesuatu yang sangat penting bagi melahirkan rasa kekerdilan diri dan membina jiwa kehambaan. Koreksi diri dan menilai diri terhadap diri, amalan dan segala kehidupan di dunia ini setiap malam adalah amalan para nabi,para sahabat dan juga generasi salaful soleh.

7 Zikrullah

* Fungsi hati yang utama ialah mengingati Allah SWT. Dengan mengingati Allah SWT jiwa dan hati terisi dengan sesuatu yang abadi dan ia adalah lambang kebersihan dan kejernihan.
* Sekiranya hati tidak disisi dengan sesuatu kebaikan, nescaya ia akan terisi dengan kemaksiatan dan kemungkaran.

8 Taubat

* Taubat adalah lambang kerendahan dan sifat kehambaan. Taubat bererti penyesalan dan keinsafan. Bulan Ramadhan adalah bulan memperbanyakan taubat dan mengembalikan jiwa kepada kesucian fitrah yang asal.
* Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW telah bersabda : “ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.” (Diriwayatkan oleh Imam Nasai’, Ibnu Habban dan Baihaqi)

9 Sedeqah

* Tujuan sedeqah, adalah untuk membersihkan diri daripada perbuatan sia-sia, dari perbuatan keji , memperhambakan diri kepada dunia, dan membantu orang yang tidak mampu seperti golongan miskin serta anak-anak yatim.
* Amalan sedeqah ini harus dirancang serta dimasukan di dalam perancangan kewangan harian, mingguan, bulanan dan tahunan kita secara nyata bagi membuktikan ia sebahagian daripada kerja yang wajib dilaksanakan.

10 Sabar

* Latihan ibadah di bulan Ramadhan terutamanya puasa kerana ia mampu melemahkan kekuatan syahwat dan kemarahan. Dalam masa yang sama, puasa mendidik kesabaran dan latihan mengendalikan nafsu di samping sanggup menanggung derita lapar, sabar dalam ketaatan, sabar untuk menjauhi maksiat dan sabar menghadapi kesusahan.

11 Doa dan Munajat

* Firman Allah bermaksud : “ Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara perlahan.” ( Al-Araf 7 : 55)
* Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mustajab untuk berdoa. Terutama di waktu fajar, selepas qiamullail dan tahajud.

12 Menanti-nanti Lailatul Qadar

* Lailatul Qadar adalah malam yang penuh keberkatan yang mempunyai keistimewaan malam lebih baik dari seribu bulan.
* Rasulullah SAW pernah bersabda : “ Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir. Jika salah seorang di antara kalian tidak mampu atau lemah, maka hendaklah dia tidak ketinggalan untuk mengejar tujuh malam yang tersisa.” (HR Bukhari dan Muslim)

13 Istighfar

* Memperbanyakan beristighfar kerana ia akan menyinari hati agar terus hidup dan segar serta membangkitkan perasaan untuk mengerjakan kebaikan dan kebenaran.
* Firman Allah SWT bermaksud : “ Dan mohonlah ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah Pengampun Lagi Maha Penyayang.” ( An-Nisa’ : 106)

Outcome dan Natijah Ramadhan

Madrasah Ramadhan yang dilalui dengan keikhlasan, keimanan dan kesungguhan akan menghasilkan seorang mukmin yang bertaqwa dan terdidik dengan didikan keimanan kepada Allah SWT. Inilah “outcome” daripada madrasah Ramadhan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

( Al- Baqarah 2 : 183)

Bulan Ramadhan melahirkan peribadi bertaqwa, bebas dan merdeka. Ramadhan adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh mukmin sejati untuk melatih diri untuk mencapai taqwa seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Hasilan inilah yang ingin dicapai agar segala yang dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan membuahkan natijah yang nyata dan diredhai oleh Allah SWT.

Sifat-sifat orang-orang yang bertaqwa

Pengertian Taqwa kepada Allah SWT ialah melaksanakan segala yang wajib dan meninggalkan segala yang haram seperti yang digariskan oleh syara’. Perlaksanaan ini tetap disempurnakan dengan tidak memilih waktu dan tempat, malah harus dilakukan di mana sahaja seseorang itu berada.

Inilah gambaran orang bertaqwa yang digariskan oleh Allah SWT :

Maksudnya :

“Iaitu mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dan mereka yang beriman dengan Kitab al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka meyakini akan adanya (kehidupan) akhirat, Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beroleh kejayaan.”

(Al-Baqarah 2 : ayat 2-5)

Al-Quran di dalam Surah Al- Baqarah ayat 177 juga menjelaskan :

Maksudnya :

“ Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan ke barat, tetapi kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab, dan nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang yang dalam perjalanan (musafir), peminta-peminta, dan untuk memerdekakan hamba sahaya, yang melaksanakan salat dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janji apabila berjanji, dan orang yang bersabar dalam kemelaratan, penderitaan, dan pada masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.”

( Al- Baqarah 2 : 177)

Rasulullah SAW juga bersabda di dalam aspek ini dalam hadis baginda yang bermaksud :

Dari Abu Dzar Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu’adz bin Jabal radiyallahu anhuma dari Rasulullah SAW sabdanya :

“ Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada. Dan ikutilah kejahatan dengan mengerjakan kebaikan, nescaya menghapuskannya. Dan berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik.”

( Diriwayatkan oleh At – Tarmizi)

Berdasarkan ayat-ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa di antara sifat-sifat orang yang bertaqwa yang ada hubungkaitnya dengan keimanan dan amal ibadah adalah seperti berikut;

1. Beriman dengan perkara-perkara ghaib, iaitu percaya kepada perkara-perkara yang telah diberitahu oleh Allah melalui lidah rasulNya SAW, di mana perkara-perkara tersebut tidak mampu difikirkan oleh akal dan pancaindera manusia, seperti zat Allah Azza wa Jalla, Alam Akhirat, Malaikat, Syurga, Neraka, Alam kubur, Alam Mahsyar, Titian Sirat, Jin-jin, Siksaan Kubur, Arasy Allah dan lain-lain lagi.

2. Mendirikan solat dalam ertikata yang sebenar, dengan memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat sahnya, termasuk mendirikannya dengan penuh kekhusukan dan ketawadukan.

3. Menafkahkan sebahagian rezeki yang Allah telah anugerahkan dalam bentuk zakat wajib atau zakat sunat (sedekah) kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir ( yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan untuk memerdekakan hamba-hamba sahaya.

4. Beriman kepada kitab al-Quran dan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, termasuk suhuf-suhuf yang diturnkan oleh Allah kepada para nabi dan rasul, melalui perantraan Jibrail A.S.

5. Mengimani dan meyakini adanya kehidupan di akhirat setelah berakhirnya kehidupa di duni ini. Di sanalah segala amalan kita akan dinilai dan dihisab dengan penilaian dan penghisaban yang maha adil, kemudian akan dibalas oleh Allah dengan balasan yang setimpal dengan apa yang kita kerjakan didunia ini. Samada berbahagia dan bergembira dengan mendapat balasan syurga atau menderita dan tersiksa dengan mendapat balasan neraka.

6. Orang-orang yang menepati janji apabila berjanji. Ini adalah lambang sahsiah orang bertaqwa dan ia berakhlak dengan akhlak Islamiyah. Dalam soal ini, ia akan mencontohi akhlak Baginda Rasulullah SAW dan meletakan keperibadian Rasulullah sebagai asas sahsiah dan dicontohi segenap aspek kehidupan baginda untuk diterapkan di dalam kehidupan seharian.

7. Bersabar dalam menghadapi apa jua bentuk ujian, cabaran dan dugaan yang ditimpakan oleh Allah SWT kepadanya. Dunia ini adalah pentas ujian baginda orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Ia adalah kayu ukur keimanan dan ketaqwaan di dalam kehidupan. Ujian ini haruslah dihadapi dengan ketabahan, kecekalan dan kepasrahan yang berteraskan keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT.

8. Menghiasi dirinya dengan keperibadian yang baik dan berakhlak dengan akhlak Islamiyah seperti berbakti kepada ibu bapa, bantu-membantu, sentiasa tersenyum, memudahkan urusan orang lain, suka menderma dan sebagainya.

Mukmin bertaqwa inilah impian dan cita-cita yang kita hajatkan. Ianya bukan satu ilusi semata-mata. Meraih taqwa memerlukan kesungguhan, keikhlasan, keyakinan dan kefahaman bagi membolehkan segala yang dikehendaki Allah SWT itu benar-benar dibumikan di dalam kehidupan ini. Ayuhlah kita berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dengan semangat kesungguhan.

Rugilah sesiapa yang biarkan Ramadhan itu berlalu begitu sahaja tanpa pertambahan amal dan mendapat pengampunan Allah SWT. Sekaranglah masanya untuk kita mempersiapkan bulan anugerah Allah ini. Semoga kita benar-benar dapat menuai buah taqwa. Sekaranglah masa untuk kita persiapkan diri kita bahkan masa untuk kita mengulangkaji kelebihan bahkan amalan manakah yang bertepatan sunnah Rasulullah SAW.

Penutup

Semoga proses pentarbiyahan di dalam bulan Ramadhan akan menghasilkan taqwa dalam erti kata yang syamil dan kamil serta memenuhi tuntutan untuk membentuk seseorang individu sebagai seorang hamba Allah SWT. Justeru, inilah hakikat perhambaan Allah SWT yang sebenarnya iaitu di mana ubudiyah itu berlaku pada setiap masa, ketika dan waktu. Semoga ruh Ramadhan, membuahkan kemenangan di pagi bulan Syawal yang penuh barakah dan diteruskan di dalam bulan-bulan yang lain. InsyaAllah.


Oleh: Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman (Presiden HALUAN Malaysia)