Video

Saturday, June 26, 2010

Remaja Puteri Pahang Terdidik di Kem PESONA

KUANTAN, 25 Jun - Alhamdulillah, Kem Personaliti Remaja Puteri ( PESONA ) anjuran Biro Haluanita, HALUAN Pahang berjaya diadakan buat julung kalinya pada 14 – 15 Jun 2010 bertempat di Kem Sultan Ahmad Shah, Kg. Pandan, Kuantan. Seramai 62 orang remaja puteri berumur antara 13 hingga 18 tahun dari daerah Kuantan, Pekan dan Temerloh telah menyertai kem ini dengan tema `Mengenali Diri`.


Menurut Pengarah Projek, Puan Hjh Norsaadah bt. Abd Hamid , program ini bertujuan memberi kesedaran dan kefahaman kepada pelajar-pelajar puteri mengenai matlamat hidup yang sebenarnya sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Kefahaman mengenai matlamat hidup inilah yang akan berjaya membentuk remaja menjadi hamba Allah yang sentiasa mengamalkan Islam sebagai cara hidup mereka.

Disamping itu, tujuan program adalah membimbing pelajar puteri ini mengenali diri dan merangsang mereka untuk meningkatkan potensi diri untuk lebih cemerlang sama ada dalam akademik, ibadah khusus dan personaliti diri.

Berbagai aktiviti telah diadakan sepanjang 2 hari program ini yang meliputi aspek spiritual, intelektual, fizikal dan emosi. Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuklah ceramah dan kaunseling dari pakar motivasi yang didatangkan khas dari Haluan Pusat iaitu Dr Azizan b. Ahmad dan Pengarah Kem Pesona Puteri Haluan Malaysia Dr. Wan Muhaizan bt Wan Mustafa.


alt alt


Menurut Ketua Projek Kem ini, Pn Rahmah bt Abd Manan, sambutan yang diterima oleh pelajar puteri ini sungguh menggalakkan dimana mereka kelihatan ceria, bersemangat dan saling memberi kerjasama yang baik bagi menjayakan setiap program yang dijalankan. Bagi mereka, kem yang diadakan di musim cuti persekolahan ini telah berjaya memberi banyak manfaat bagi mereka terutamanya mengenali diri serta berinteraksi dengan rakan-rakan yang belum mereka kenali sebelum ini.


Aktiviti menarik lain yang dijalankan termasuklah `ice breaking`, latihan dalam kumpulan (LDK), demontrasi memasang khemah, explorace tarbawi, `wall climbing` , bengkel, persembahan kumpulan dan kuliah subuh. Suatu yang menarik dalam program ini ialah tayangan multimedia dan perkongsian isu umat Islam di Palestin. Perbandingan antara nasib kanak-kanak di bumi Palestin yang belajar menuntut ilmu dengan serba dhaif di bawah khemah dipinggir runtuhan bangunan sekolah yang musnah akibat di bom oleh Yahudi berbanding dengan keselesaan pelajar-pelajar di Malaysia menuntut ilmu.

alt



Setiap aktiviti yang dijalankan disulami dengan pengajaran, hikmah dan falsafah yang boleh dipelajari oleh peserta. Ianya bertujuan membentuk remaja yang mempunyai keseimbangan hidup dan jatidiri yang tinggi. Aspek kemurniaan akhlak amat diterapkan dalam kem ini dimana remaja diasuh agar sentiasa memelihara akhlak dengan baik kerana inilah neraca keindahan dan kecemerlangan bagi individu muslim sejati iaitu mereka yang mempunyai akhlak yang mulia dan terpuji.



Kem Pesona Puteri yang di kendalikan oleh Pn. Azzah Salimi bt. Mohd Nasir selaku Kem Komandan telah berjalan dengan lancar walaupun ianya pertama kali diadakan oleh Biro Haluanita Pahang ini. Kem ini telah diakhiri dengan ucapan penutupan dan penyampaian sijil penyertaan serta cenderahati kepada semua pelajar dan fasilitator yang terlibat menjayakan program ini oleh Puan Hjh. Zaini b. Musa, Ketua Biro Haluanita Pahang.

alt alt



Dalam ucapan penutupnya, Puan Hjh Zaini berharap program ini mendapat keredhaan Allah SWT jua dan mendoakan agar semua puteri yang menyertai kem ini akan menjadi remaja yang solehah dan pelajar yang cemerlang. Beliau juga menyarankan agar kem Pesona ini dapat dijalankan lagi di masa akan datang sebagai program tahunan tetap biro Haluanita Pahang.

Akhirnya, beliau mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan kem ini termasuklah pihak pengurusan kem, Jabatan Pelajaran Pahang, para penderma dan penyumbang , wartawan Sinar Harian Kuantan dan semua fasilitator dari Haluan Siswa dan Kelab Remaja Haluan ( KeARAH ).


Disediakan oleh,

Biro Penerangan Haluanita Pahang
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Remaja Puteri Pahang Terdidik di Kem PESONA"

Post a Comment