Video

Friday, April 30, 2010

Masyarakat Raub Prihatin Nasib Rakyat di Gaza

RAUB, 24 April -- HALUAN Pahang terus mempergiatkan
usaha mengadakan siri kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai permasalahan Palestin dan projek bantuan kemanusiaan “Lifeline 4 Gaza". Terbaru pada 24 April 2010 bertempat di daerah Raub, HALUAN Pahang telah mengundang seorang ulama dari Palestin untuk berkongsi pengalaman dan menyuntik kesedaran masyarakat setempat tentang isu Palestin ini.

Program yang telah diadakan di Masjid Lama Bandar Raub itu turut dihadiri oleh Pegawai Agama Islam (Qadhi) Daerah Raub, Ustaz Khairul Amran b. Abd. Jalil. Sambutan dari masyarakat kota di Bandar Raub ini amat menggalakkan. Tuan qadhi di dalam ucapan aluannya merakamkan ucapan terima kasih kepada HALUAN kerana sudi hadir ke Raub untuk menyebarkan kesedaran tentang permasalahan ummah di Palestin ini. Beliau mewakili masyarakat Islam di sini turut menyatakan rasa bertuah kerana berpeluang dapat bertemu dengan warga Palestin sendiri yang telah dibawa oleh pihak HALUAN Palestin. Beliau berharap dan menyeru masyarakat di sini memberi komitmen sepenuhnya bagi membantu saudara mereka Palestin tanpa syak dan ragu lagi.

Pengerusi HALUAN Palestin, Tn Hj Noorazman b Samsudin, melanjutkan ceramah dengan menjelaskan tujuan projek "Lifeline 4 Gaza" menerobos tembok kematian ini. Projek untuk mendapatkan dana bagi membantu umat Islam di Gaza digerakkan melalui kerjasama NGO peringkat antarabangsa yang diketuai oleh IHH dari Turki. Projek ini adalah kesinambungan dari projek Viva Palestina 3 yang telah berjaya diadakan pada awal tahun 2010 ini.

Beliau juga telah menceritakan pengalaman tragis beliau ketika menyertai misi Viva Palestina 3 tersebut dan menyeru masyarakat supaya menyedari bahawa usaha membantu saudara Islam di Palestin ini adalah wajib mengikut Ulama tersohor Prof. Dr Yusoff Al Qardawi.

Usaha mengumpul dana ini kini giat diadakan di seluruh dunia dan berharap dapat mengumpul semaksima mungkin untuk dihantar ke Gaza dalam bentuk barangan pembinaan, jentera berat, perubatan, makanan dan lain lain melalui konvoi kapal yang akan berlayar dari Turki ke Gaza pada pertengahan bulan Mei ini melalui inisiatif dan dokongan Perdana Menteri Turki.

Kemuncak program pada malam tersebut adalah ucapan wakil Rabitah Ulama' Palestin, Syeikh Talal An Nasr. Beliau telah menceritakan senario semasa di Gaza dan kesungguhan saudara Islam di sana berjuang mempertahankan bumi bertuah Palestin dengan segala kekuatan yang ada bagi berhadapan dengan kekejaman rejim Zionis yang rakus dan zalim tanpa memperdulikan desakan dan kutukan masyarakat antarabangsa.

Menurut Syeikh Talal, hanya kekuatan iman dan perjuangan saja yang membuatkan Gaza masih tidak mampu ditawan oleh Zionis. Umat Islam di Gaza memahami dan yakin bahawa Allah akan memberi pertolongan kepada mereka dengan berkat perjuangan ikhlas mereka di samping bantuan doa umat Islam yang bersimpati di seluruh dunia.

Beliau juga telah menceritakan kesungguhan umat Islam di Gaza berkorban apa saja demi perjuangan suci ini. Mereka menyerahkan nyawa dan diri mereka termasuklah wanita dan anak anak. Ada wanita yang sanggup syahid melalui pengeboman berani mati, wanita yang menyerahkan anak-anak mereka untuk berjuang. Mereka merasai suatu kemuliaan berjuang dengan jiwa dan harta mereka daripada terus tunduk kepada Israel. Seterusnya beliau mengajak masyarakat umat Islam di sini agar turut bersama mendokong perjuangan suci mereka dengan memberikan sumbangan dana dan apa saja sebagai bukti kasih sayang kepada saudara mereka yang kini semakin menderita di Gaza.

Menurut penyelaras program tersebut, Cikgu Ghazali bin Ismail, hadirin pada malam itu begitu teruja dengan ceramah yang disampaikan dan tidak berganjak hingga ke akhir majlis. Pelancaran serta edaran tabung derma turut dilakukan ketika ceramah berjalan. Jualan buku dan baju palestin turut diadakan di luar masjid. Alhamdulillah jumlah sumbangan orang ramai pada malam itu menjangkau RM 7,400 - suatu pencapaian yang memberangsangkan.

Cikgu Ghazali merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Qadhi dan pihak Jawatankuasa Masjid yang telah memberi peluang kepada HALUAN mengadakan ceramah berkenaan, dan juga semua penderma yang amat bermurah hati memberi sumbangan membantu program mengumpul dana untuk Palestin ini.

InsyaAllah program selanjutnya dijangka akan diadakan di daerah Pekan.


---------------------------
Laporan disediakan oleh Sdr Abd. Bashir Abd Ghani, Naib Setiausaha HALUAN Pahang.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Masyarakat Raub Prihatin Nasib Rakyat di Gaza"

Post a Comment