Video

Thursday, December 16, 2010

Pelik Tapi Benar: Apabila Surat Tidak Berbalas


Seorang ayah pergi merantau ke luar negara untuk mencari rezeki meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Dia seorang yang penyayang dan sangat dikasihi dan dihormati pula oleh ahli keluarganya.

Setelah keadaannya di rantau orang agak stabil, dia menghantar surat pertama kepada keluarganya. Mereka sangat gembira menerima surat yang sungguh bermakna dari seorang ayah yang sangat dikasihi dan disayangi. Sampul surat itu ditenung berulang kali. Masing-masing memeluk dan mengucup surat tersebut bagai tidak mahu dilepaskan. Kemudian surat yang berharga itu disimpan di dalam pembalut sutera yang indah. Sekali sekala surat itu dikeluarkan dari pembalutnya untuk dibersihkan daripada debu dan habuk. Kemudian meletakkan kembali di dalam pembalutnya.

Kemudian tiba pula surat kedua, ketiga dan seterusnya. Semuanya disimpan dan dijaga rapi seperti surat pertama.

Beberapa tahun berlalu…


Tibalah masa untuk si ayah pulang menemui keluarga tercinta. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tiada seorangpun yang tinggal kecuali anak bongsunya. Dengan cemas dia bertanya:
- Mana ibumu?
- Ibu ditimpa sakit yang amat teruk. Kami tidak ada wang untuk membiayai rawatannya sehingga akhirnya dia meninggal dunia.
- Kenapa begitu? Apakah kamu tidak membuka suratku yang pertama? Di dalamnya terkandung sejumlah wang yang banyak untuk perbelanjaan kamu?
- Tidak!
- Di mana pula abangmu?
- Dia telah terpengaruh dengan kawan-kawan sebaya yang jahat. Selepas kematian ibu, tidak ada siapa yang mampu menasihatinya. Sekarang dia sudah jadi sebahagian daripada mereka.
- (Ayah semakin hairan) Kenapa begitu? Aku telah tulis dengan panjang lebar menasihati kamu agar berhati-hati memilih kawan. Jangan berkawan dengan orang jahat kerana lama kelamaan kita juga akan jadi jahat! Aku juga meminta agar abangmu itu mengikut aku di rantau orang. Apakah kamu tidak membaca suratku?
- Tidak!
- لا حول ولا قوة إلا بالله
- Kakakmu di mana?
- Dia pernah tulis surat kepada ayah meminta nasihat tentang seorang pemuda yang melamarnya. Sekarang dia telah berkawin dengan pemuda itu. Tapi malangnya dia tidak bahagia. Hidupnya menderita didera sepanjang masa lahir dan batin.
- Bukankah aku telah jawab surat itu menasihatinya agar jangan terima lamaran pemuda itu? Aku telah ingatkan, jangan pillih pasangan berdasarkan harta dan kedudukan. Tapi pilihlah berdasarkan agama, akhlak dan keturunan! Kamu tidak baca semua surat-suratku?
- Tidak! Kami simpan surat-surat ayah di dalam pembalut sutera yang cantik, kami usap dan cium surat itu sebagai tanda sayang dan rindu kami kepada ayah! Tetapi kami tidak membacanya…

Tidak ada siapa yang percaya akan kebenaran cerita ini. Mungkin ada yang akan berkata ia tidak masuk akal sama sekali!

Namun sedarkah kita bahawa inilah kisah benar. Kisah yang tak masuk akal inilah yang berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini?

Kita menerima surat dari Yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Memerhati lagi Maha Bijaksana. Surat yang mengandungi panduan, ajaran serta petunjuk dalam segenap bidang kehidupan. Tetapi sejauh mana kita membaca, memahami dan mengikuti panduan yang diberi?

Maka jadilah apa yang terjadi! Umat Islam mati dibunuh saban hari, di sana sini. Jenayah meningkat, keruntuhan akhlak mencemaskan di semua peringkat, wanita-wanita didera dan diperkosa tanpa mengira tua atau muda, bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang merata-rata, dan bermacam-macam kejahatan, maksiat dan kemungkaran yang menjijikkan.

Semuanya berpunca daripada tidak membaca dan mengambil pengajaran daripada Surat yang dikirim oleh Pencipta Yang Maha Esa Yang Amat Sayang kepada makhluk-Nya!
read more...

Friday, December 3, 2010

Hebahan: Forum Maal Hijrah 1432H

read more...

Thursday, December 2, 2010

Muhasabah : Meneruskan Kerja Dakwah dan Tarbiah

Dunia pada hari ini telah berubah kepada suatu zaman yang moden dan maju, sejajar dengan peredaran masa. Kemajuan dan pembangunan ini banyak memberikan keselesaan serta kesenangan kepada kehidupan manusia. Namun, perkembangan yang pesat ini jika tidak berlaku mengikut acuan yang sebenarnya, maka ia akan memberikan kesan kemudaratan dan kepincangan kepada manusia segajat.

Jika dianalisa dari segi sejarah, kehidupan masyarakat kini sudah kembali kepada suatu keadaan seperti zaman sebelum kedatangan Rasulullah SAW. Zaman yang diselubungi kejahilan dan berlakunya krisis ketamadunan. Boleh kita nyatakan di sini, bahawa kehidupan Islam yang pernah diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW telah kembali dagang dan asing. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Islam telah bermula dalam keadaan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka yang bersama Islam di waktu ia dagang." (Hadis Riwayat Muslim)

Marilah kita melihat, memperbetul dan memusabah diri kita dan keadaan masyarakat kita. Bagaimanakah sebenarnya keadaan masyarakat Islam dari pelbagai aspek kehidupan, terutamanya daripada tiga aspek yang akan difokuskan iaitu pendidikan, kemasyarakatan dan politik. Dan bagaimanakah kaedah yang terbaik bagi menyelesaikan permasalahan ummah ini.

Pendidikan

Bidang pendidikan merupakan perkara asas dalam proses pembangunan ketamadunan manusia. Matlamat dan kaedah sistem pendidikan harus bertitik tolak daripada nilai serta 'core value' yang jelas, nyata dan berasas. Dari segi aspek teorinya, pendidikan itu merangkumi seluruh aspek fakulti keinsanan manusia iaitu kerohanian, keintelektualan dan fizikal. Pendidikan yang syumul (menyeluruh) ini menyentuh seluruh kehidupan tanpa wujudnya pemisahan dan kelonggaran terhadap sesuatu aspek.

Namun, timbul permasalahan apabila pencapaian pendidikan seseorang pelajar hanya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata sehingga berlakunya pengabaian dalam pendidikan akhlak dan kerohanian. Kesannya, lahirlah generasi yang bijak dari segi keintelektualan tetapi miskin akhlak. Perkara ini pernah disebut oleh seorang ilmuan Islam “Sistem pendidikan hari ini mampu melahirkan golongan yang cerdik pandai, tetapi gagal untuk melahirkan seorang pemuda yang khusyuk dalam solat dan menangis menyesali dosa yang dilakukannya.

Kemasyarakatan

Jika dilihat dari aspek sosial pula, banyak gejala-gejala yang tidak bermoral kian menular di dalam masyarakat dan keadaan ini semakin meruncing dari semasa ke semasa. Satu fenomena biasa pada hari ini apabila masalah keruntuhan akhlak dan kerosakan generasi muda terpapar di dada akhbar perdana setiap hari seolah-olah tiada tindakan penyelesaian yang dapat dilakukan.

Permasalahan seperti gejala pembuangan bayi, kes jenayah juvana, kes pembulian, kecurian dan sebagainya adalah tanda-tanda kepada kerosakan yang berlaku di dalam masyarakat. Hari ini, kebanyakan kaedah dan usaha menangani permasalahan ini hanya cuba merawat petanda-petanda dan belum lagi ke arah menangani punca utama mengapa permasalahan ini boleh berlaku.

Politik

Dari aspek politik pula, dunia berada di dalam keadaan yang tidak stabil. Krisis demi krisis yang melanda mendedahkan pelbagai penyelewengan di dalam pemerintah negara-negara di seluruh dunia. Suasana sebegini akan merencatkan suasana keamanan dan keharmonian negara. Sebagai contoh, keadaan politik negara-negara Islam seperti Afganistan, Iraq, Palestin, Yaman dan sebagainya mengalami perubahan politik akibat peperangan, pemberontakan dan persengketaan.

Dan lebih memburukan keadaan, banyak kepincangan pemerintahan dan politik berlaku disebabkan keperibadian dan akhlak pemimpin yang rosak. Pemimpin yang tidak berakhlak akan menyebabkan berlaku banyak penyelewengan, pecah amanah dan mengutamakan kepentingan diri sendiri.

Penyelesaian pembangunan ummah

Sebenarnya, penyelesaian utama kepada permasalahan yang berlaku pada hari ini ialah setiap penyelesaian perlu kembali kepada ajaran Islam dan Allah SWT. Sesungguhnya, ajaran Islam adalah ajaran yang akan membawa kerahmatan dan keamanan kepada seluruh alam ini. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:

Tidak diutuskan engkau (Muhammad), kecuali untuk memberi rahmat kepada seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’(21) :107)

Transformasi holistik

Rasulullah SAW telah melakukan satu transformasi yang menyeluruh dan dasar utamanya ialah kembali kepada proses pembentukan tauhid dan pembinaan akidah kepada Allah SWT. Akidah Islamiah menjadi tunjang perubahan dan inilah formula utama kejayaan baginda Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, melihat semula apa yang telah digariskan oleh Islam dan melaksanakan apa yang telah dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat adalah sesuatu yang perlu diikuti dan dicontohi.

Baginda Rasulullah SAW telah melaksanakan proses tarbiah (pendidikan) dan dakwah (penyeruan) dalam mengislah (memperbaiki) masyarakat jahiliyah pada ketika itu.

Proses pendidikan diri dan pemulihan semula konsep kehidupan telah memberi kesan yang sangat mendalam pada generasi yang dididik oleh Rasulullah SAW. Hakikatnya, mereka telah melalui suatu proses pendidikan yang menghidupkan semula jiwa dan hati mereka sehingga ada yang memberi gambaran seolah-olah seperti menjadi manusia yang baru.

Inilah rahsia kejayaan proses perubahan yang membentuk sekelopok manusia yang terbaik dalam sejarah dunia. Pembentukan jiwa yang berteraskan akidah Islamiah inilah yang akhirnya menentukan sikap dan nilai yang betul di dalam diri para sahabat Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan barang siapa yang mencari agama selain Islam, dia tidak akan diterima dan di akhirat dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.” (Ali Imran (3) : 85)

Para sahabat generasi awal adalah mereka yang dididik untuk melaksanakan Islam di dalam kehidupan. Mereka adalah generasi Al-Quran yang melaksanakan Al-Quran di dalam hidup mereka. Mereka adalah generasi dakwah. Segala permasalahan yang dihadapi oleh mereka akan diselesaikan dengan cara kembali melihat neraca iman dan panduan daripada Al-Quran dan sunnah.

Mereka menjadi generasi terbaik kerana melaksanakan tuntutan ajaran Islam secara komprehesif, menyeluruh dan terlaksana secara nyata dalam kehidupan dengan rela tanpa paksaan. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:

Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah dari mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Ali Imran (3) : 110)

Usaha dakwah yang meluas

Di samping itu juga, Rasulullah SAW dan para sahabat baginda begitu gigih menegakkan din ini serta bersungguh-sungguh berusaha menyebarluaskan dakwah kepada seluruh manusia di serata pelusuk dunia. Dengan keyakinan dan kepercayaan yang mendalam, para sahabat giat merancang strategi, berbincang, melaksanakan perancangan dakwah serta menilai semula gerak kerja mereka bagi memastikan ajaran Islam tersebar ke seluruh dunia. Misi mereka ialah agar seluruh manusia berada dalam naungan kebahagiaan Islam dan hidup secara harmoni di bawah payung pemerintahan Islam. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar.” (Ali Imran (3) : 104)

Bekalan terbaik Menuju Akhirat

Oleh yang demikian, segala kerja-kerja dakwah dan tarbiah harus dilaksanakan dengan berpandukan sumber yang muktabar iaitu Al-Quran dan sunnah. Segala gerak kerja ini harus dirancang, dilaksana, dipantau dan dinilai agar kerja ini benar-benar berjalan secara sistematik dan tersusun.

Para aktivis dakwah akan berterusan melakukan kerja-kerja pembaikan masyarakat dan penyeruan ke arah hidup Islam yang syumul dan menyeluruh. Kerja ini haruslah dilaksanakan secara sukarela, kolektif, proaktif dan dinamik. Kerja-kerja inilah yang diwariskan oleh baginda Rasulullah SAW kepada umat Islam dan ia diteruskan zaman berzaman oleh mereka yang ikhlas dalam memperjuangkan din Allah SWT.

Kerja dakwah adalah bekalan yang terbaik untuk kita persembahkan kepada Allah SWT pada hari pertemuan denganNya. Inilah warisan yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah SAW untuk kita laksanakan dan seharusnya kita merasai masuliah (tanggungjawab) ini dengan penuh kefahaman, kesedaran dan keyakinan yang mendalam kepada Allah SWT.

Justeru itu, masuliah dakwah dan kerja-kerja tarbiah ini wajib dilaksanakan dengan penuh ketelitian, kesungguhan dan keizzahan dengan bekerjasama dengan semua pihak yang menyokong dan mendokong kerja-kerja ini. Insya-Allah.

Oleh : Dr Abdullah Sudin Abd Rahman
Presiden HALUAN Malaysia

Sumber

read more...

Memiliki Hati Yang Bersih

“Sekarang ini di tengah-tengah kalian ada seorang calon penghuni syurga.”

Begitulah kesaksian dan jaminan dari Rasulullah SAW saat duduk di tengah halaqah bersama para sahabat RA. Para sahabat menoleh ke kanan dan ki kiri. Siapakah dia sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullah SAW.?

Tiba-tiba semua mata tertumpu kepada Sa’ad bin Abu Waqqash. Dialah salah seorang sahabat yang terawal beriman dengan Allah SAW dan Rasulullah SAW saat jumlah orang yang menerima Islam masih boleh dihitung dengan jari. Beliau sangat cintakan jihad di jalan Allah SWT dengan harta dan jiwanya sampai mati.

Beliau adalah orang yang pertama dari kaum muslimin yang membidikkan anak panahnya di jalan Allah SWT. Ianya dipersaksikan oleh Rasulullah SAW sehingga mendapat doa khusus dari Baginda SAW, tepat sasaran panahnya, mustajab pula setiap doa yang dipanjatkannya. Rasulullah SAW bersabda memberikan semangat kepada Sa’ad “ Teruskan membidik Sa’ad! Ayah dan Ibuku menjadi tebusanmu.”

Sa’at busur panah Sa’ad patah, Rasulullah SAW segeri memberikan yang lainnya. Bahkan baginda brdoa untuk Sa’ad, “Ya Allah, tepatkanlah bidikannya dan kabulkan doanya.”

Apa rahsianya kehebatan sang penghuni syurga ini? Bagaimana kita boleh mengambil ibrah dan pengalaman Sa’ad bin Abu Waqqash membina peribadi yang luar dari biasa ini?

Sa’ad bin Abu Waqqash memiliki anugerah besar ini setelah beliau berjuang keras melawan nafsu, sehingga beliau memiliki jiwa yang jernih, iman yang sejati, keikhlasan yang mendalam dan hati yang bersih yang tidak dinodai oleh sifat hasad, iri dan dengki kepada sesiapapun.

Ingin jadi penghuni syurga? Siapa mahu menyertai Sa’ad bin Abu Waqqash? Bersihkan hati dari mengikuti telunjuk hawa nafsu dan menangkan diri dengan kekuatan ruhiyah serta bebaskan diri dari penyakit-penyakit hati; sombong, iri, dengki, hasad, malas, bertangguh, suka kepada maksiat dan seangkatan dengannya.

“Dan sesiapa yang mengerjakan amalan-amalan yang soleh dari lelaki atau perempuan, sedangkan ia seorang yang beriman, maka mereka akan masuk ke dalam Syurga dan mereka tidak akan dikurangi sedikitpun (pahala amalan mereka). (An Nisaa’: 124)

Perkara hati bukan merupakan perkara yang remeh, oleh kerana itu jika kita menaruh perhatian untuk memperbaikinya, maka impaknya hidup kita menjadi lebih bahagia, tenang dan umat ini akan menjadi lebih baik. Kita harus menyebutkan betapa pentingnya memelihara hati dan jiwa kita, sehingga masing-masing dari kita meletakkan hati di hadapannya dan bekerja siang dan malam untuk memperbaikinya.

“Ketahuilah bahawa di dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila segumpal daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (HR Bukhari dan Muslim”)

Mempertingkatkan keimanan
Jalan penyelesaian terbaik untuk kita menjaga hati kita adalah dengan mempertingkatkan keimanan dan penghambaan kita kepada Allah SWT. Menurut mujahid Syeikh Dr. Abdullah Nasih Ulwan, mempertingkatkan keimanan adalah dengan seorang mukmin itu meyakini bahawa Allah sentiasa bersamanya, mendengar dan melihat perlakuannya, mengetahui perkara yang nyata dan rahsia, mengetahui pandangan mata yang khianat dan perkara yang tersembunyi di dalam dada... Dia sentiasa ingat
firman Allah:

“Tidak berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia-lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai melainkan Dia bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. (Al Mujadalah: 7)

Dengan keyakinan dan perasaan ini, seorang mukmin akan bebas daripada kongkongan hawa nafsu, dorongan nafsu ammarah, tunggangan syaitan dan fitnah harta serta wanita. Dia akan memperlengkapkan dirinya dengan bermuraqabah, takutkan Allah dan merasai-Nya sentiasa bersamanya ketika dia keseorangan dan juga ketika bersama orang ramai. Semua ini mendorong mukmin tersebut melakukan amal soleh dengan penuh kesungguhan, amanah dan ikhlas... Bahkan dia dapat menepati kata-kata penyair Islam:

Apabila engkau bersendirian sedetik, jangan engkau kata,
aku telah bersendirian, bahkan katakanlah aku diperhati,
jangan engkau menyangka Allah lalai walaupun sedetik,
jangan sangka ada sesuatu tersembunyi,tidak diketahuiNya.

Manfaatkan Masa Sebagai Perawat Hati
Sabda Rasulullah s.a.w sebagaimana yang telah diriwayatka oleh Muslim:

“Bersungguhlah melakukan apa yang mendatangkan faedah kepada engkau, mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan merasa lemah.”

Para pakar jiwa dan pendidikan telah mengakui:

Apabila seorang pemuda bersendirian di waktu lapangnya... ia akan didatangi oleh berbagai khayalan, gelora hawa nafsu dan memikirkan tentang seks yang memberangsangkan. Nafsu ammarahnya akan bergelora di hadapan khayalan dan tuntutan nafsu ini. Kadang-kadang dia terjatuh ke lembah yang dilarang oleh syara’ yang mendatangkan akibat yang buruk. Adalah lebih membahayakan lagi apabila dia mempunyai waktu lapang dan harta. Benarlah kata-kata penyair.:

Sesungguhnya pemuda,
waktu lapang dan faktor kesungguhan,
Adalah kemuncak kebinasaan bagi seseorang.

Tidak ragu lagi bahawa jalan penyelesaian untuk bebas daripada semua ini ialah dengan mengetahui bagaimana cara menggunakan waktunya dan memenuhi kekosongan yang ada. Alangkah banyaknya bidang boleh diceburi oleh pemuda untuk mengisi masa kehidupannya. Ianya boleh dipenuhi samada dengan bersukan yang boleh menguatkan tubuh badannya, bersiar-siar merehatkan jiwanya, membuat penyelidikan dan pembacaan yang boleh menambah pengetahuannya, membuat kerja tangan yang boleh memperkembangkan minatnya, menghadiri kelas-kelas pengajian agama yang boleh mengasuh akhlaknya, turut serta di dalam peraduan yang berbentuk ilmiah (kuiz) yang boleh melatih mentalnya, berlatih memanah dan cara-cara jihad yang lain yang boleh mempersiapkan dirinya dan lain-lain jalan penyelesaian yang boleh menjauhkannya daripada mengikut hati yang dikuasai hawa nafsu dan dorongan nafsu ammarah.


Ujian Surut dan Istiqamah
Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita, khasnya buat para pemuda Islam sekalian untuk terus istiqamah tanpa jemu mendidik hati dan jiwa agar sentiasa termasuk dalam golongan yang bersama dengan Rasulullah SAW terutama pada saat jiwa kita diuji dengan kelemahan namun kita tetap istiqamah. Sabda Rasulullah SAW. ;

‘Bahawa setiap amalan itu ada puncak kesungguhan-nya, setiap puncak kesungguhan itu ada surutnya. Maka sesiapa yang surutnya adalah pada sunnahku, maka di telah mendapat petunjuk, dan sesiapa yang surut kepada yang lain, bererti telah binasalah dia.’

Sumber
read more...