Video

Wednesday, November 10, 2010

Kelebihan 10 Hari Pertama Zulhijjah


Kelebihan dan amalan yang digalakkan semasa sepuluh hari pertama Zulhijjah ini boleh diringkaskan seperti berikut:

1. DISUMPAH DI DALAM AL-QURAN

Allah SWT banyak menggunakan metodologi bersumpah di dalam al-Quran, dengan bertujuan untuk memberikan penegasan kepada ayat seterusnya, serta memberikan petunjuk terhadap kelebihan perkara yang menjadi sumpahan tersebut. Di dalam surah al-Fajr ayat 1-2, Allah telah berfirman:

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

Demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)

Di dalam tafsir al-Tabari, Ibn Jarir telah mendatangkan banyak riwayat mengenai pandangan ulamak terhadap yang dimaksudkan dengan sepuluh malam di dalam surah al-Fajr di atas. Ada yang menyatakan ianya bermaksud sepuluh hari pertama bulan Muharram. Sebahagian menyatakan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, dan ini disokong oleh Syeikh Ibn Uthaimin. Akan tetapi pandangan jumhur ialah sepuluh hari berkenaan berlaku pada awal Zulhijjah. Dengan sebab itulah hari-hari tersebut dianggap sebagai hari yang mulia dan penuh dengan kelebihan. Menurut Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma’ad, siang sepuluh hari pertama Zulhijjah adalah lebih afdhal daripada sepuluh hari terakhir Ramadhan, sementara sepuluh malam terakhir Ramadhan pula adalah lebih baik daripada sepuluh malam pertama Zulhijjah kerana berlakunya lailatul qadar.

2. HARI DIGALAKKAN BERAMAL IBADAH

Bersabda nabi Muhammad SAW:

ما من أيام العمل الصالح فيهن أحب إلى الله من هذه الأيام العشر قالوا: ولا الجهاد في سبيل الله؟ قال: ولا الجهاد في سبيل الله إلا رجل خرج بنفسه وماله فلم يرجع من ذلك بشيء

Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, “Bukankah jihad fi sabililllah?” Jawab baginda, “Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit”. (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadith ini, para ulamak menggalakkan umat Islam meningkatkan semua jenis amal ibadah seperti puasa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya pada sepuluh hari yang mulia ini.

3. HARI YANG DIHIMPUNKAN SEMUA IBADAH UTAMA DI DALAM ISLAM

Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz telah menerangkan mengapa amal ibadah amat digalakkan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah:

والذي يظهر أن السبب في امتياز عشر ذي الحجة لمكان اجتماع أمهات العبادة فيه ، وهي الصلاة والصيام والصدقة والحج ولا يتأتى ذلك في غيره

Adapun sebab keistimewaan sepuluh hari pertama Zulhijjah ialah kerana terhimpunnya semua ibadah utama padanya iaitu solat, puasa, zakat dan haji, yang mana ianya tidak berlaku pada masa yang lain.

4. GALAKAN BERPUASA TERUTAMANYA PADA 9 ZULHIJJAH

Di dalam sepotong hadith sahih riwayat Muslim, Abu Qatadah meriwayatkan yang nabi ditanya mengenai fadhilat berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah), maka jawab baginda:

يكفر السنة الماضية و الباقية

Diampunkan dosa tahun yang lepas dan yang masih berbaki.

Selain itu umat Islam juga digalakkan berpuasa pada awal bulan, iaitu pada 1 Zulhijjah. Dalam masa yang sama, ada riwayat yang menyatakan ramai salafussoleh berpuasa pada sembilan hari pertama Zulhijjah. Perlu diperingatkan juga yang berpuasa pada hari 10 sehingga hari 13 Zulhijjah adalah dilarang di dalam Islam.

5. AWAL ZULHIJJAH IALAH MUSIM HAJI

Awal Zulhijjah ialah musim menunaikan ibadah haji bagi umat Islam yang mampu. Pada waktu inilah hampir 3 juta jemaah haji akan berhimpun beramai-ramai menyahut panggilan Allah di tempat yang suatu masa dahulunya merupakan bumi kering-kontang. Ibadah haji juga merupakan satu-satunya rukun Islam yang dijadikan nama surah di dalam al-Quran. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hajj ayat 27:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Artikel lanjut mengenai falsafah dan galakan menunaikan haji boleh dibaca di capaian ini.

6. TURUT DIKENALI SEBAGAI HARI MA’LUMAT

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 28:

لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الأنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan manfaat/faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu (hari ma’lumat), kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

Ulamak menafsirkan hari ma’lumat sebagai hari yang ditentukan oleh Allah SWT dengan pelbagai jenis kelebihan dan fadhilat. Ianya bukan sekadar kelebihan akhirat semata-mata, tetapi turut membabitkan kelebihan duniawi.

Menurut Mujahid seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir di dalam tafsirnya, yang dimaksudkan dengan menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah di dalam awal ayat di atas ialah keampunan di akhirat, dan keuntungan perdagangan di dunia.

Keuntungan akhirat adalah sesuatu yang pasti perlu direbut oleh para jemaah haji. Sementara manfaat atau keuntungan perdagangan di dunia pula disebut oleh Mujahid dalam ulamak salaf yang lain sebagai konteks realiti duniawi zaman dahulu. Pada zaman sekarang, memang tidak dinafikan yang keuntungan berniaga akan berlipat ganda khususnya bagi penduduk tanah Haram. Akan tetapi kita perlu menyempitkan maksud keuntungan duniawi dalam sektor perdagangan sahaja. Umat Islam perlu memanfaatkan perhimpunan 3 juta manusia ini untuk menatijahkan manfaat serta kekuatan yang lain. Bagi pemimpin negara umat Islam, inilah masa mereka berbincang memikirkan kesatuan dan kemajuan masing-masing. Kekuatan muslim perlu dijana semasa perhimpunan agung ini, semoga roh-roh yang baru menunaikan ibadah haji pulang ke tanah air masing-masing dengan semangat yang tinggi serta kesatuan yang jitu. Inilah masanya untuk menyatakan kemarahan kepada musuh Islam dan musuh keinsanan. Negara Muslim yang kuat membantu negara Muslim yang lemah. Muslim lama membantu muslim muallaf. Muslim minoriti berkongsi pengalaman dengan muslim majoriti di negara masing-masing. Bagi saya, inilah manfaat duniawi yang terbesar sepatutnya dicari oleh para hujjaj semasa musim haji.

Dalam masa yang sama, umat Islam juga diminta untuk memperbanyakkan bacaan takbir sebagai tanda kita berzikir dan mengagungkan Allah SWT sejajar dengan ayat di atas. Bertakbir adalah amat dituntut daripada bermulanya malam 10 Zulhijjah sehinggalah hari tasyriq pada 13 Zulhijjah.

7. DIGALAKKAN MENUNAIKAN IBADAH QURBAN

Di dalam surah al-Hajj ayat 28 di atas, Allah turut menggalakkan umat Islam yang mampu untuk menunaikan ibadah qurban. Mengikut jumhur, hukumnya adalah sunat muakkadah bagi yang mampu. Sementara Imam Abu Hanifah pula menyatakan hukumnya adalah wajib. Artikel mengenai falsafah ibadah qurban boleh dibaca di capaian ini. Apa yang pasti, tujuan utama menunaikan ibadah qurban bukannya semata-mata untuk mempersembahkan darah atau daging haiwan sembelihan tersebut kepada Allah, akan tetapi untuk umat Islam mengejar ketaqwaan di sisi-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37:

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.

8. WUJUDKAN RASA KEBERSAMAAN ANTARA ORANG YANG PERGI HAJI DENGAN YANG TIDAK PERGI HAJI

Orang yang menunaikan ibadah qurban sebenarnya turut menyertai pesta ibadah haji. Dengan sebab itulah ada beberapa larangan kepada para hujjaj yang turut dikongsi sama dengan mereka yang berniat untuk menunaikan ibadah qurban, seperti larangan bercukur dan memotong kuku kepada para hujjaj yang sedang berihram yang turut sama dikongsi larangan tersebut kepada umat Islam yang bukan menunaikan haji tetapi ingin melaksanakan ibadah qurban. Sabda nabi Muhammad seperti di dalam riwayat Muslim:

إذا دخلت العشر –أي:عشر ذي الحجة- و أراد أحدكم أن يضحي فلا يمس من شعره و بشره شيئا – و في رواية-: فليمسك عن شعره و أظفاره

Sekiranya masuk sepuluh hari Zulhijjah, dan antara kamu ada yang ingin menyembelih kurban, maka janganlah menggunting/cukur rambut atau memotong kukunya (sehinggalah haiwan tersebut disembelih).

Selain itu, ketika para hujjaj mengulangi talbiah sebagai simbolik kejayaan mereka menyahut seruan Allah dan juga mengagungkanNya, umat Islam yang lain di seluruh dunia turut digalakkan mengulangi takbir sehinggalah ke hari terakhir haji pada 13 Zulhijjah. Justeru, wujudlah rasa kebersamaan.

Oleh: Ustaz Ahmad Irfan Ikmal Hisham

read more...

Tuesday, November 9, 2010

HALUAN Pahang Mendidik Jatidiri Pelajar-Pelajar Pilihan Smk Paya Besar, Kuantan

KUANTAN, 6 November - HALUAN Pahang meneruskan usaha berbakti kepada masyarakat dengan memberi tumpuan kepada program pendidikan bagi melahirkan warga negara yang berilmu dan berakhlak mulia. Terbaru HALUAN Pahang telah mendapat kepercayaan dan diberi amanah oleh SMK Paya Besar Kuantan, Pahang untuk mengisi program pemantapan jatidiri dan sahsiah terpuji kepada pelajar-pelajar putera dan puteri tingkatan 1 dan 2 berumur 13-14 tahun.

Program telah diadakan pada 2 hingga 3 November 2010 bertempat di Kempvilla Resort, Kg Kempadang, Kuantan yang disertai seramai 60 orang pelajar terpilih beserta beberapa guru-guru pengiring. Tujuan program ini adalah untuk membentuk pelajar-pelajar agar mempunyai jatidiri dan disiplin yang tinggi dan terhindar dari melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan masa depan mereka. HALUAN Pahang telah mendapatkan khidmat dari motivator dan fasilitator terlatih dari Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) Kelantan dan HALUANSiswa Pahang yang diketuai oleh Sdr. Razali b. Maarof bersama 8 orang fasilitator lelaki dan perempuan.

Ceramah motivasi oleh Fasi KTD

Ceramah motivasi oleh Fasi KTD

Perbincangan Kumpulan

Perbincangan Kumpulan

Menurut Penyelaras Program HALUAN Pahang, Sdr Abd Bashir Abd Ghani, program selama 2 hari 1 malam ini sedikit sebanyak telah berjaya memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar untuk mereka memahami tujuan menuntut ilmu dan kepentingan berakhlak mulia. Di usia yang sebegini muda dan mentah, mereka mudah terpengaruh dengan budaya songsang yang boleh merosakkan masa depan mereka jika tidak dibendung dengan segera. Justeru itulah pihak sekolah menganjurkan program ini dan memberi kepercayaan kepada HALUAN untuk membentuk pelajar-pelajar terpilih ini.

Beberapa modul pengisian program telah dijalankan oleh motivator dan fasilitator bagi memastikan program dapat berjalan dengan baik dan lancar serta mengembirakan mereka. Fasililtator terpaksa mengerahkan kepakaran dan pengalaman mereka bagi mengendalikan program ini dengan berbagai pendekatan walaupun agak keletihan melayani karenah nakal peserta. Maklumlah berhadapan pelajar-pelajar pilihan yang masih terumbang ambing menentukan karisma mereka. Berkat kesabaran abang-abang dan kakak-kakak fasilitator , mereka semua gembira dan seronok menyertai program ini.

Sesi Persembahan Kumpulan LDK

Sesi Persembahan Kumpulan LDK

Solat berjemaah

Solat berjemaah

Antara pengisian program yang dapat dan sempat dilakukan dalam masa yang terbatas ini termasuklah ceramah motivasi, latihan dalam kumpulan (LDK), riadhah, solah berjemaah, qiamullail , sesi muhasabah dan kaunseling. Program perasmian penutupan bersama ibubapa mereka telah diadakan pada 3 November 2010 jam 3.00 petang di sekolah mereka dengan acara penyampaian hadiah dan sijil oleh Pengetua sekolah. Sebelum ucapan penutup, satu ceramah keibubapaan bersama dengan ibubapa peserta telah disampaikan oleh Tn. Hj. Ibrahim b. Abd. Rahman dari HALUAN Pusat. Ucapan penutupan telah disempurnakan oleh Pengetua Sekolah, En. Nandrakumaran.

Dalam ucapannya, beliau berulang kali mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak HALUAN kerana sudi membantu pihak sekolah mendidik pelajar-pelajar mereka. Suatu usaha kerjasama yang kukuh antara pihak sekolah dengan NGO. Beliau berharap pihak HALUAN akan dapat mengisi lagi program mendidik pelajar-pelajar mereka dimasa akan datang.Terdahulu dalam ucapan mewakili HALUAN Pahang, Sdr Abd. Bashir merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak sekolah yang telah memberi peluang kepada HALUAN Pahang mendidik pelajar mereka dan berharap usaha yang baik ini berterusan di masa akan datang. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ustazah Norehan GPK SMK Paya Besar selaku guru penyelaras program yang telah banyak memberi kerjasama dan bertungkus lumus bagi memastikan kelancaran program ini. Juga kepada semua fasilitator dan penceramah yang begitu komited membantu menjayakan program ini.

read more...

Saturday, October 30, 2010

Hutang Negara Bakal Membebankan Rakyat?


Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pada Isnin (25 Okt) mendedahkan bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.

Hutang itu mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), kali pertama keadaan itu berlaku dalam sejarah negara, kata beliau dalam laporan tahunan terbaru yang di bentangkan di Parlimen semalam(25 Oktober).

Hutang merupakan senjata berbahaya yang menjadi alat negara-negara Kapitalis dalam menguasai negara-negara membangun. Hutang yang semakin meningkat akan semakin menyukarkan negara peminjam melunaskannya. Sangat mencekik darah, bahkan, ada negara yang sehingga terpaksa menggadaikan aset nasionalnya untuk membayar hutang tersebut. Ironinya, bukan semua hutang tersebut adalah kepunyaan pemerintah, malahan syarikat swasta juga turut menikmati ‘bantuan’ tersebut, sehingga negara terpaksa menjaminnya. Seorang penulis iaitu Jon Hanson dalam bukunya yang bertajuk Good Debt, Bad Debt telah mengibaratkan hutang sebagai kolesterol. Seperti kolesterol, hutang jika terlalu banyak boleh mendatangkan masalah kepada individu atau sesebuah negara, malah ada kalanya ia boleh membunuh.

Pada tahun 2007 sehingga 2009, seluruh dunia dikejutkan dengan krisis hutang global. Bermula dari negara kuasa ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS) sehinggalah krisis itu merebak ke seluruh dunia. Walaupun pada awalnya, ada yang meramalkan tahun 2010 merupakan tahun pemulihan krisis ekonomi dunia, namun krisis hutang terbaru yang melanda Eropah menggusarkan masyarakat dunia mengenai prospek pemulihan dan pertumbuhan ekonomi dunia.

Pada bulan Mei 2010 yang lalu, kesatuan Eropah telah meluluskan dana sebanyak 110 bilion euro atau RM466.4 bilion untuk menyelamatkan Greek. Ini termasuklah bantuan kewangan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak 30 bilion euro (RM127 bilion). Jumlah dana yang luar biasa ini terpaksa dikeluarkan bagi membolehkan krisis itu tidak merebak ke negara-negara Eropah lain dan seterusnya ke seluruh dunia.

Model Ekonomi Baru?
Apakah model ekonomi yang ingin di bangunkan oleh Malaysia sebenarnya? Apakah kemajuan di nilai dengan jumlah hutang yang semakin membesar, memiliki bangunan-bangunan melangit atau melahirkan seramai mungkin jutawan bumiputra? Atau mencapai 30% kekayaan Negara di miliki oleh kaum bumiputra yang sehingga saat ini masih tidak tercapai sejak DEB diperkenalkan?

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam karyanya Aina al-Khalal pernah berkata: "Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran daripada galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita…jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta-kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun."

Belajar Ekonomi Dari Al Quran
Islam tidak menggalakkan umatnya untuk membiayai hidupnya dengan berhutang. Berhutang dalam Islam hanya diizinkan bila kita betul-betul menghadapi kesulitan ekonomi yang tidak dapat dielakkan. Itupun, hutang itu hendaklah diusahakan bersumber dari hutang yang terbebas dari nilai-nilai riba. Apakah hal ini diberi perhatian serius oleh pengurusan ekonomi negara dalam pengurusan kewangan Negara?

Al Quran telah merakamkan kisah pengurusan ekonomi bijak oleh Nabi Yusuf as. Ini terbukti dalam kisah yang dipaparkan al-Quran berhubung tawaran diberikan kepada Nabi Yusuf as. oleh Raja Mesir untuk bertindak sebagai Bendahara atau menteri kewangan Mesir.

Menurut riwayat, selepas dilantik menjadi menteri, Nabi Yusuf as. segera menyiapkan bekalan dan mengambil tindakan cukup terancang bagi menangani musim kemarau serta kebuluran yang akan melanda Mesir.

Sehubungan itu, rakyat Mesir digesa menanam gandum selama tujuh tahun berturut-turut. Gudang besar atau piramid dibina untuk menyimpan hasil tuaian gandum berserta tangkainya dan batangnya. Ini bertujuan mengekalkan kesegaran dan kelembapannya selain mengelakkan ia diserang ulat.Bekalan yang disimpan itu juga hanya dinikmati dalam kadar yang sedikit sepanjang tahun-tahun kemarau berikutnya, iaitu sekadar memenuhi keperluan dan untuk menghilangkan kelaparan. Selain itu, sebahagian kecil daripada gandum itu juga disimpan untuk dijadikan benih.

Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya menyatakan, Nabi Yusuf as. sendiri, Raja Mesir dan tenteranya hanya makan sekali saja dalam sehari, iaitu pada waktu tengah hari bagi memastikan bekalan makanan mencukupi untuk rakyat Mesir menghadapi saat genting sepanjang tujuh tahun kemarau itu.
Negeri yang berjiran dengan Mesir seperti sebahagian negeri Syam dan Kan’aan (Palestin) turut menerima faedah daripada perancangan rapi negara Mesir ketika datangnya musim kemarau.

Mesir yang kaya dengan hasil buminya menjual bijirin, iaitu makanan asasi kepada negeri berkenaan untuk membantu mengatasi masalah kebuluran yang melanda rakyat.
Jelas daripada kisah kebijaksanaan pengurusan ekonomi Negara oleh Nabi Yusuf yang dipaparkan al-Quran itu antara langkah terbaik yang seharusnya diambil sebagai perancangan teliti dan pendekatan bijak seperti Malaysia, ekonomi yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan tidak sewenangkan mengambil jalan berhutang sebagai langkah mengejar kemajuan.

Antara faktor yang menyebabkan sesebuah Negara hilang kawalan dalam pengurusan ekonominya sehingga menyebabkan hutang Negara tidak terkawal adalah kerana kelemahan dalam merancang perbelanjaan, ketidakupayaan mengawal kehendak diri, ketiadaan tabungan atau simpanan dan tidak menjadikan kesederhanaan sebagai peribadi kehidupan khususnya kalangan pemimpin Negara.Kesederhanaan adalah akhlak dalam Islam.

Justeru apabila perkara di atas berlaku, maka timbullah masalah dan kesulitan lain seperti bebanan hutang dan pinjaman yang tidak mampu untuk diuruskan dengan baik.
Al-Jahiz dalam bukunya, Al-Bukhala (The Misers) mengatakan, “Perbelanjaan menurut nafsu atau secara bermewah menjadi penghalang bagi perbelanjaan untuk melaksanakan kewajipan. Sebaliknya, perbelanjaan untuk tujuan melaksanakan hak serta kewajipan menjadi penghalang bagi perbelanjaan menurut nafsu. Anda mungkin mendapati kesilapan pada apa yang kukatakan ini, namun Mu’awiyah pernah mengatakan, “Aku tidak pernah melihat (wang) diboroskan tanpa tiadanya tanggungjawab yang diabaikan.”

Kalaulah pemerintah negara lebih peka terhadap konsep ekonomi Islam yang menggalakkan umatnya untuk hidup sederhana, maka dengan memanfaatkan seoptima mungkin sumber daya yang dianugerahkan Allah swt., maka tidak sepatutnya negara kita terus mengkoleksi hutang sepanjang hidupnya dengan dalih apapun. Usaha untuk menyeimbangkan antara pendapatan dan pengeluaran negara dengan berhemah dan berjimat cermat, maka dengan sendirinya akan menghindarkan kita dari perangkap hutang luar negeri. Samada diakui atau tidak, bila ekonomi kita harus bergantung dengan hutang, maka dengan sendirinya kita telah mengundang campur tangan Negara / agensi asing mengambil kesempatan atas kelemahan ekonomi negara.

Disinilah sebenarnya kehinaan sesebuah negara bermula. Kenapa tidak? Apabila kita sudah terperangkap dalam hutang, dengan sendirinya bukan hutang material sahaja yang timbul, tetapi kita juga telah terjebak dalam hutang budi dan jasa. Apabila ini terjadi, maka dengan sendirinya kita harus memenuhi keinginan negara pemberi hutang tidak hanya terhadap syarat-syarat yang disebutkan dalam perjanjian hutang (debt-agreement), tetapi juga terhadap konsekuensi yang terjadi akibat berhutang tersebut.
read more...

Thursday, October 14, 2010

80 PELAJAR FELDA CHINI SERTAI KEM MOTIVASI PECUTAN AKHIR SPM 2010

KUANTAN, 11 Oktober - Seramai 80 orang pelajar putera dan puteri yang akan menduduki peperiksaan SPM hujung tahun ini dari 2 buah sekolah menengah di Felda Chini, Pekan telah mengikuti program Motivasi Pecutan Akhir SPM yang diadakan di Taman Pertanian Indera Mahkota pada 9 hingga 10 Oktober yang lalu.

Program ini telah dianjurkan oleh HALUAN Pahang bersama Jabatan Belia Dan Sukan Pahang dengan kerjasama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SMK Chini dan SMK Chini 2.

Tujuan program ini ialah untuk memberi pendedahan tentang persiapan akhir menghadapi peperiksaan di samping menaikkan semangat dan motivasi pelajar agar lebih bersedia menduduki peperiksaan dan berjaya mencapai keputusan terbaik.

Di dalam program ini pihak HALUAN Pahang selaku penyelaras program ini telah mendapat khidmat motivator dan fasilitator dari Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) Kelantan, Kelab Fasi Muda Haluansiswa dan siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Beberapa modul telah diterap dan dijalani oleh pelajar-pelajar ini termasuklah persediaan minda yang positif, santapan roh, teknik menjawab soalan dan hala tuju selepas SPM kelak.

Menurut YDP HALUAN Pahang, Tg Abd Rashid Tg Othman, program seumpama ini julung kalinya diadakan membabitkan pelajar dari luar bandar khususnya dari Felda Chini. HALUAN mendapat kerjasama yang amat baik dari Pengetua dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kedua-dua buah sekolah.

Menurut beliau lagi, pelajar-pelajar sangat teruja dapat menyertai program yang diadakan dalam bentuk kem dengan pelbagai aktiviti-aktiviti termasuklah perkhemahan, solah berjemaah, qiamullail, kuliah subuh, ceramah motivasi, forum kecemerlangan siswa, perkongsian pengalaman mercu kejayaan bersama pensyarah dari UMP dan `team building`.

Pelajar-pelajar telah menunjukkan minat, semangat dan komitmen yang tinggi dalam setiap aktiviti yang dianjurkan walaupun agak keletihan kerana aturcara yang padat. Mereka kelihatan begitu ceria dan gembira sepanjang program berjalan. Melalui sesi muhasabah yang dijalankan semua pelajar sangat berpuas hati dengan modul yang telah mereka jalani dengan tunjuk ajar serta bimbingan ikhlas dari para fasilitator dari KTD dan Haluansiswa.

Sentuhan mesra bersifat sifat kasih sayang, sedia berkorban dan contoh akhlak baik yang menjadi teras setiap program anjuran HALUAN ini membuatkan pelajar dapat merasai kelainan luar biasa dan bertambah yakin untuk memperbaiki diri dan berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai kejayaan dalam SPM serta hidup berpandukan pegangan agama dengan lebih kukuh.

Program berakhir dengan ucapan-ucapan oleh wakil Pengetua SMK Chini 2, Ustazah Rosmawati, Pengerusi PIBG SMK Chini, En Sarjoni Konteng dan ucapan penutup oleh Timbalan YDP HALUAN Pahang Tn Hj. Ramli b. Ngah.

Dalam ucapan penutup, Timbalan YDP HALUAN Pahang menjelaskan bahawa HALUAN Pahang akan terus berusaha memberi khidmat pendidikan dan kebajikan terbaik kepada masyarakat yang memerlukan selaras dengan moto HALUAN iaitu berakhlak, mendidik dan berbakti. Masalah kewangan bukanlah menjadi halangan untuk mengadakan sesuatu program kerana sekiranya kita ikhlas dan berusaha lebih nescaya Allah SWT akan membantu mempermudahkan urusan kita.

Akhir kata beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama di dalam membantu menjayakan program ini termasuklah Jabatan Belia Dan Sukan Pahang yang sudi memberi peruntukan kewangan, pihak UMP Pahang, PIBG SMK Chini, motivator serta fasilitator dari KTD serta pihak pengurusan Taman Pertanian Indera Mahkota.

Semua peserta dianugerahkan sijil penyertaan dan dibawa melawat Expo Konvokesyen kampus Universiti Malaysia Pahang, Jalan Gambang sebelum pulang dengan menaiki 2 buah bas UMP Pahang.

read more...

Wednesday, October 13, 2010

Pendaftaran Kursus JATIDITI Lepasan SPM 2010 Di Buka!

read more...

Friday, October 8, 2010

Hebahan: Konvensyen Pembangunan Ummah Di Putrajaya

read more...

Monday, October 4, 2010

Kem Pecutan Akhir SPM 2010

Kem Pecutan Akhir SPM 2010
Tarikh: 9 - 10 Oktober 2010 (Sabtu - Ahad)
Tempat: Pusat Kegiatan Ko-Kurikulum, Sultan Ahmad Shah, Kg. Pandan, Kuantan
Anjuran: HALUAN Pahang, Kelab Siswa Zon Pantai Timur, SMK Chini, PIBG SMK Chini dan Kolej Teknologi Darulnaim
Peserta: Calon SPM 2010 - 80 orang dari SMK Chini

Kordinator: En. Bashir - 0139333316


read more...