Video

Thursday, May 27, 2010

HALUAN Pahang Hantar Wakil Ke MPT HALUAN Pusat

BANGI, 22 Mei - HALUAN Pahang telah menghantar wakil menyertai Mesyuarat Perwakilan Tahunan HALUAN ke-21 di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 22 Mei 2010 yang lepas. Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Dato’ Haji Yusoff Dohab, Timbalan Ketua Setiausaha (Sosio-Ekonomi), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mewakili Ketua Setiausaha Y.Bhg. Dato’ Abd. Jabar Che Nai, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Seramai 600 perwakilan dan pemerhati HALUAN dari seluruh negara berkumpul bagi memenuhi tuntutan berorganisasi secara formal selain menemukan perwakilan HALUAN dari seluruh negara dalam suasana ukhuwwah dan persaudaraan. Pimpinan-pimpinan badan NGO-NGO lain turut bersama dalam majlis perasmiaan ini seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Mawaddah Malaysia (MAWADDAH), Aqsa Syarif, Aman Palestin, Yayasan Amal Malaysia, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma-JIM), Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HALUANSiswa) dan lain- lain pertubuhan juga turut hadir.

Y.Bhg. Dato’ Haji Yusoff Dohab, Timbalan Ketua Setiausaha (Sosio-Ekonomi), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW)

Y.Bhg. Dato’ Haji Yusoff Dohab, Timbalan Ketua Setiausaha (Sosio-Ekonomi), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW)

 Pimpinan-pimpinan badan NGO-NGO

Pimpinan-pimpinan badan NGO-NGO

HALUAN adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mula menempatkan diri bersama masyarakat sejak tahun 2002 dengan usaha membantu mengubati masalah-masalah sosial, memberi bantuan kemanusiaan kepada masyarakat miskin, terbiar, anak-anak yatim, mereka yang ditimpa bencana dan sebagainya.
Objektif aktiviti-aktiviti HALUAN ialah membantu kerajaan dalam menangani masalah sosioekonomi terutama dalam aspek pembinaan keluarga bahagia, penyelesaian konflik keluarga dan remaja, saran keluarga tunggal, miskin dan anak yatim, mengekalkan semangat dan sifat prihatin dalam masyarakat Malaysia untuk menyumbang kepada keharmonian dan kerukunan masyarakat, dan menjadi bahan perantara penderma dan penerima derma.
Di dalam ucapan perasmian TKSU, Dato’ Haji Yusoff Dohab amat mengucapkan syabas kepada HALUAN kerana berjaya menjayakan program pembangunan Modal Insan (PPMI) di Kelantan dan Sabah pada tahun 2009 yang lalu. Beliau mengharapkan agar usaha ini dapat digiatkan lagi pada masa akan datang bersama-sama HALUAN dan juga badan NGO-NGO lain.
Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman

Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman

Perwakilan & pemerhati yang hadir

Perwakilan & pemerhati yang hadir

Selepas ucapan perasmian, kesemua perwakilan, pemerhati dan jemputan pimpinan NGO turut sama-sama mendengar ucapan dasar Presiden HALUAN Malaysia yang bertemakan "Meningkatkan Kualiti dan Mempertingkatkan Kuantiti". Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman dalam ucapannya menekankan dua fokus HALUAN iaitu aspek pendidikan dan perkhidmatan.

"Memperkasakan institusi pendidikan bermula daripada unit-unit terkecil iaitu halaqah HALUAN sehingga institusi pendidikan yang besar seperti sekolah dan IPT", tegas Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman.
Menurut Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman lagi, "Dalam bidang perkhidmatan, HALUAN harus ke depan dalam menyediakan sistem perkhidmatan yang memberi kesan kepada perkhidmatan yang dapat menangani gejala sosial yang berlaku". Beliau mengajak semua ahli HALUAN dan semua badan NGO agar dapat bersama-sama dalam konteks permasalahan Palestin dan bersama-sama berganding bahu menyelesaikan isu ini.
Selepas majlis perasmian, tetamu dan perwakilan melawat pameran yang memaparkan aktiviti-aktiviti HALUAN seperti program pembangunan Modal Insan (PPMI) di Kelantan dan Sabah pada tahun 2009, Kompleks Pendidikan HALUAN, Kolej Teknologi Darul Naim dan Pameran Palestin.
read more...

Friday, April 30, 2010

Masyarakat Raub Prihatin Nasib Rakyat di Gaza

RAUB, 24 April -- HALUAN Pahang terus mempergiatkan
usaha mengadakan siri kempen kesedaran kepada masyarakat mengenai permasalahan Palestin dan projek bantuan kemanusiaan “Lifeline 4 Gaza". Terbaru pada 24 April 2010 bertempat di daerah Raub, HALUAN Pahang telah mengundang seorang ulama dari Palestin untuk berkongsi pengalaman dan menyuntik kesedaran masyarakat setempat tentang isu Palestin ini.

Program yang telah diadakan di Masjid Lama Bandar Raub itu turut dihadiri oleh Pegawai Agama Islam (Qadhi) Daerah Raub, Ustaz Khairul Amran b. Abd. Jalil. Sambutan dari masyarakat kota di Bandar Raub ini amat menggalakkan. Tuan qadhi di dalam ucapan aluannya merakamkan ucapan terima kasih kepada HALUAN kerana sudi hadir ke Raub untuk menyebarkan kesedaran tentang permasalahan ummah di Palestin ini. Beliau mewakili masyarakat Islam di sini turut menyatakan rasa bertuah kerana berpeluang dapat bertemu dengan warga Palestin sendiri yang telah dibawa oleh pihak HALUAN Palestin. Beliau berharap dan menyeru masyarakat di sini memberi komitmen sepenuhnya bagi membantu saudara mereka Palestin tanpa syak dan ragu lagi.

Pengerusi HALUAN Palestin, Tn Hj Noorazman b Samsudin, melanjutkan ceramah dengan menjelaskan tujuan projek "Lifeline 4 Gaza" menerobos tembok kematian ini. Projek untuk mendapatkan dana bagi membantu umat Islam di Gaza digerakkan melalui kerjasama NGO peringkat antarabangsa yang diketuai oleh IHH dari Turki. Projek ini adalah kesinambungan dari projek Viva Palestina 3 yang telah berjaya diadakan pada awal tahun 2010 ini.

Beliau juga telah menceritakan pengalaman tragis beliau ketika menyertai misi Viva Palestina 3 tersebut dan menyeru masyarakat supaya menyedari bahawa usaha membantu saudara Islam di Palestin ini adalah wajib mengikut Ulama tersohor Prof. Dr Yusoff Al Qardawi.

Usaha mengumpul dana ini kini giat diadakan di seluruh dunia dan berharap dapat mengumpul semaksima mungkin untuk dihantar ke Gaza dalam bentuk barangan pembinaan, jentera berat, perubatan, makanan dan lain lain melalui konvoi kapal yang akan berlayar dari Turki ke Gaza pada pertengahan bulan Mei ini melalui inisiatif dan dokongan Perdana Menteri Turki.

Kemuncak program pada malam tersebut adalah ucapan wakil Rabitah Ulama' Palestin, Syeikh Talal An Nasr. Beliau telah menceritakan senario semasa di Gaza dan kesungguhan saudara Islam di sana berjuang mempertahankan bumi bertuah Palestin dengan segala kekuatan yang ada bagi berhadapan dengan kekejaman rejim Zionis yang rakus dan zalim tanpa memperdulikan desakan dan kutukan masyarakat antarabangsa.

Menurut Syeikh Talal, hanya kekuatan iman dan perjuangan saja yang membuatkan Gaza masih tidak mampu ditawan oleh Zionis. Umat Islam di Gaza memahami dan yakin bahawa Allah akan memberi pertolongan kepada mereka dengan berkat perjuangan ikhlas mereka di samping bantuan doa umat Islam yang bersimpati di seluruh dunia.

Beliau juga telah menceritakan kesungguhan umat Islam di Gaza berkorban apa saja demi perjuangan suci ini. Mereka menyerahkan nyawa dan diri mereka termasuklah wanita dan anak anak. Ada wanita yang sanggup syahid melalui pengeboman berani mati, wanita yang menyerahkan anak-anak mereka untuk berjuang. Mereka merasai suatu kemuliaan berjuang dengan jiwa dan harta mereka daripada terus tunduk kepada Israel. Seterusnya beliau mengajak masyarakat umat Islam di sini agar turut bersama mendokong perjuangan suci mereka dengan memberikan sumbangan dana dan apa saja sebagai bukti kasih sayang kepada saudara mereka yang kini semakin menderita di Gaza.

Menurut penyelaras program tersebut, Cikgu Ghazali bin Ismail, hadirin pada malam itu begitu teruja dengan ceramah yang disampaikan dan tidak berganjak hingga ke akhir majlis. Pelancaran serta edaran tabung derma turut dilakukan ketika ceramah berjalan. Jualan buku dan baju palestin turut diadakan di luar masjid. Alhamdulillah jumlah sumbangan orang ramai pada malam itu menjangkau RM 7,400 - suatu pencapaian yang memberangsangkan.

Cikgu Ghazali merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Qadhi dan pihak Jawatankuasa Masjid yang telah memberi peluang kepada HALUAN mengadakan ceramah berkenaan, dan juga semua penderma yang amat bermurah hati memberi sumbangan membantu program mengumpul dana untuk Palestin ini.

InsyaAllah program selanjutnya dijangka akan diadakan di daerah Pekan.


---------------------------
Laporan disediakan oleh Sdr Abd. Bashir Abd Ghani, Naib Setiausaha HALUAN Pahang.

read more...

Pelancaran Lifeline4Gaza Peringkat Daerah Kuantan Berjalan Lancar

HALUAN Pahang melalui Badan Gabungan NGO Islam Pahang (BARAKAH) telah berjaya mengadakan program "Roadshow Lifeline 4 Gaza," Talian Hayat Untuk Gaza dari 2 hingga 3hb April 2010 di Masjid Syaidina Umar Al Khattab, Perkampungan Cenderawasih, Kuantan.

Dengan mengutarakan tema "Menerobos Tembok Kematian," program ini berjaya menarik perhatian, kehadiran dan sumbangan derma yang menggalakkan dari masyarakat tempatan. HALUAN Pahang sebagai penyelaras program ini turut mendapat kerjasama erat dari ahli gabungan NGO Islam Pahang termasuklah JIM, ISMA, ABIM, Yayasan Amal, Nadwah Islamiah dan lain-lain.

Antara tujuan utama program ini adalah untuk mempromosikan projek "Lifeline 4 Gaza" di peringkat Daerah Kuantan khasnya dan Negeri Pahang amnya. Promosi projek bagi menarik simpati masyarakat untuk menghulur sumbangan derma mengisi tabung bagi membantu rakyat Palestin yang kini sedang menderita akibat keganasan dan kepungan rejim Zionis laknatullah melalui tembok besar yang dibina sebagai penjara besar kematian. Selain dari mengenakan sekatan dari dunia luar, penduduk Gaza juga diserang secara berterusan oleh tentera Zionis Israel.

Ceramah khas Hj Norazaman di Masjid Cenderawasih


Program bermula dengan pembacaan khutbah Jumaat mengenai Palestin oleh Pengerusi HALUAN Palestin, Tn Hj Norazman Mohd Samsuddin. Di sebelah malamnya pula telah diadakan ceramah dan tayangan khas pengalaman Tn Hj Norazman menyertai konvoi Viva Palestina ke-3 yang akhirnya berjaya tiba di Gaza pada 6hb Januari lalu. Belia berkongsi pengalaman yang penuh dengan peristiwa tragis di samping memberi maklumat sebenar mengenai situasi terkini di Gaza. Ceramah beliau telah berjaya membuat hadirin teruja dengan hujah dan lontaran pengalaman tarbawi yang realistik dan meyakinkan.

Sebagai menambahkan keberkesanan program ini, pihak urusetia telah menjemput Pegawai Agama Daerah Kuantan untuk menyampaikan ucapan aluan. Sebagai simbolik kepada pelancaran program ini, Tn Hj. Norazman selaku Pengerusi HALUAN Palestin telah menyerahkan "tabung derma" kosong kepada Pegawai Agama Islam bagi mewakili masyarakat daerah Kuantan untuk dipenuhkan dengan sumbangan wang derma untuk disalurkan kepada penduduk Gaza yang sedang menderita.

Pada malam kedua program ini, satu sesi ceramah bertajuk "Perancangan jahat Yahudi untuk memusnahkan Islam dan umat Islam di seluruh dunia" telah disampaikan oleh Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, Ustaz Hasanudin b Mohd Yunus. Acara lain yang dijayakan pada malam tersebut termasuklah pameran Palestin, jualan amal, ceramah untuk muslimat, peraduan mewarna dan melukis untuk kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan, motivasi pelajar, qiamullail dan kuliah subuh.

Anak kecil menyumbang ke Tabung Palestin


Alhamdulillah, sepanjang 2 hari program ini dijalankan, sumbangan derma yang diterima dari masyarakat amat menggalakkan. Sejumlah RM 13,000 berjaya dikumpulkan termasuklah melalui kutipan solat jumaat. Jumlah ini adalah diluar jangkaan pihak urusetia. Ada juga dari kalangan pengunjung muslimat yang sudi menderma sebentuk cincin emas dan sepasang anting-anting emas bagi membuktikan betapa kasih dan sayangnya kepada saudara mereka di Gaza.

Menurut wakil penyelaras program yang juga merupakan Naib Setiausaha HALUAN Pahang, Sdr Abd Basir Abd Ghani, sambutan masyarakat kepada program ini menggalakkan namun masih kurang memberangsangkan. Ini mungkin kerana program diadakan di masjid dimana hanya mereka yang biasa ke masjid sahaja yang memanfaatkan sambutan ini. Masyarakat sekitar masih kurang mengambil perhatian kepada program ini walaupun promosi dan hebahan telah dibuat dengan sewajarnya. "InsyaAllah , Haluan Pahang bersama Barakah akan berusaha melanjutkan lagi program roadshow lifeline4Gaza ini di seluruh daerah di Negeri Pahang ini. Justeru itu komitmen dan kerjasama semua pihak amat diharapkan khususnya daripada pihak berkuasa yang berkenaan. Program ini telah berjaya menarik kembali perhatian masyarakat kepada isu Palestin yang terhenti selepas serangan besaran rejim Israel ke atas Gaza pada penghujung tahun 2008," ujar beliau.

HALUAN Pahang bersyukur kerana program ini dapat dijalankan dengan lancar berkat kerjasama semua NGO dalam gabungan Barakah.

HALUANITA Pahang ceria membantu jualan amal dan pameran Palestin


HALUAN Pahang serta Barakah juga ingin merakam dan menyampaikan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Pengerusi dan semua Ahli Jawatankuasa, Pegawai Masjid Syaidina Umar Al Khattab, Cenderawasih yang telah memberi bantuan dan kerjasama padu bagi menjayakan program ini. Juga kepada pihak media yang memberi liputan program ini serta kepada semua pihak dan individu yang telah memberi sumbangan derma bagi mengisi dana untuk Palestin ini. Dengan komitmen ini, InsyaAllah akan mampu memanjangkan lagi "talian hayat untuk Gaza" sebagai benteng pertahanan terakhir Palestin dan simbol kekuatan Islam bagi membebaskan Masjidil Aqsa dan Palestin daripada Zionis Israel.


read more...

Pelajar Maahad Di Pahang Berkongsi Informasi Projek Lifeline4Gaza


Penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin di Gaza yang dipaparkan melalui program roadshow "Lifeline 4 Gaza" talian hayat untuk Gaza, menerobos tembok kematian, oleh HALUAN Palestin turut dikongsi dan dirasai bersama oleh pelajar-pelajar sekolah di Negeri Pahang. Isu Palestin ini bukan sahaja perlu didedahkan kepada masyarakat umum, namun perlu juga didedahkan kepada pelajar-pelajar sekolah bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mereka betapa isu Palestin ini adalah isu agama yang membabitkan persoalan aqidah yang wajib diketahui oleh seluruh ummah tanpa mengira batasan umur.

Dua buah sekolah menengah agama bertaraf Maahad di Pahang telah bertuah kerana dapat bersama HALUAN Palestin berkongsi informasi terkini tentang isu Palestin ini. Sekola-sekolahh tersebut ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Dan Professional Kerajaan Negeri di Tg Lumpur, Kuantan dan Maahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini, Bandar Pusat Jengka Pahang.

Pengerusi HALUAN Palestin, Tn Hj Noorazman Mohd Samsuddin telah dijemput menyampaikan ceramah isu Palestin di Maahad Tahfiz Al Quran pada 2 April 2010 lalu selepas solat Jumaat di surau Maahad tersebut. Seramai 150 orang pelajar terpilih telah hadir mendengar penjelasan sebenar mengenai isu Palestin ini. Mereka menunjukkan minat dan tumpuan pada bahan yang disampaikan beserta tayangan slide yang menunjukkan penderitaan umat Islam di sana, dan bagaimana usaha masyarakat dunia yang prihatin ingin membantu mereka melalui projek "Lifeline 4 Gaza" ini.

Menurut wakil Pengarah Maahad, Ustaz Lafzul, pelajar-pelajar ini perlu mengetahui isu sebenar yang menyelubungi permasalahan ummah hari ini agar minda dan perasaan hati mereka akan lebih terdidik menghubungkan dan mempraktikkan Al-Quran yang dihafaz dalam kehidupan mereka. Mereka juga dianjurkan untuk sentiasa mendoakan akan keselamatan dan kesejahteraan saudara mereka di sana sebagai bukti kasih sayang dan prihatin mereka di samping menggalakkan ibubapa mereka untuk turut serta memberi sumbangan kepada projek mengumpul dana ini.

Manakala pada 7 April 2010 pula, pelajar Sekolah Agama Maahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini di Bandar Jengka turut berpeluang mendengar dan memahami isu Palestin ini yang telah diadakan selepas solat Asar di Masjid sekolah. Seramai 300 orang pelajar putera dan puteri teruja mendengar ceramah beserta tayangan slide dan video.

Ceramah telah disampaikan oleh Sdr Abd Bashir dari HALUAN Palestin Pahang. Pelajar didedahkan dengan penderitaan umat Islam di Palestin akibat keganasan pihak Zionis dan perancangan Yahudi untuk merobohkan Masjid al Aqsa.

Begitu juga dengan pembinaan tembok kematian yang dibina oleh Zionis yang telah membuatkan mereka kini terkepung di dalam penjara terbuka yang terbesar di dunia. Rakyat Palestin ini dinafikan hak untuk hidup bebas dan terputus hubungan bagi mendapatkan sebarang bentuk bantuan antarabangsa.

Pelajar-pelajar juga didedahkan dengan protokol dan perancangan jahat Yahudi yang telah berjaya merosakkan aqidah dan akhlak generasi muda Islam dengan berbagai strategi melalui penerapan 6S iaitu song, show, shopping, sport, smoke dan sex. Pelajar diingatkan bahawa mereka adalah pemuda-pemudi tiang agama yang akan mewarisi kepimpinan generasi di masa akan datang. Justeru itu mereka perlu persiapkan diri dengan aqidah, ibadah dan akhlak yang mantap. Mereka harus memelihara diri dari terperangkap dan hanyut dengan godaan hawa nafsu ciptaan dan perancangan jahat Yahudi ini. Ceramah telah diakhiri dengan pelajar-pelajar berdiri dengan penuh semangat menyanyikan lagu "Palestina Tercinta" beramai-ramai.

Alhamdulillah, isu Palestin ini telah memberi ruang wacana ilmu seluasnya kepada pelajar dan menyedarkan mereka bahawa dipundak bahu merekalah letaknya harapan ummah untuk mengembalikan kegemilangan Islam membebaskan Palestin dan Masjid al Aqsa dari cengkaman Zionis.

read more...

Thursday, April 1, 2010

Perhubungan Negeri


Untuk Menghubungi HALUAN Pahang, sila hubungi:

YDP : Tengku Abd Rashid bin Tengku Othman (0199800420)
Timbalan YDP 1 : Hj. Ramli Bin Ngah
Setiausaha : Hj Musthafa bin Sulaiman
P. Setiausaha : Bashir Mohd Ghani (0139333316)
read more...

Wednesday, February 17, 2010

HALUAN Pahang Sertai Program Cegah Mungkar Malam Tahun Baru 2010

HALUAN Pahang telah diberi peluang dan kepercayaan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Pejabat Kadhi Daerah Kuantan untuk membantu menjayakan program mencegah kemungkaran semasa sambutan malam tahun baru 2010. Sepertimana yang diketahui umum, sambutan malam tahun baru ini lazimnya akan disambut dengan berbagai aktiviti hiburan dan pertunjukan yang pastinya banyak mengundang perkara yang negatif dan cemar dengan pelbagai kegiatan maksiat dan tidak bermoral seperti pergaulan bebas, pendedahan aurat, melepak, berpeleseran, merempit, berkhalwat, minum arak dan berzina.

Inilah realiti yang sudah menjadi budaya dalam masyarakat bandar khususnya di kalangan remaja Melayu, di mana malam tersebut akan tetap disambut walaupun tidak ada aktiviti yang dianjurkan. Bahkan tidak kurang ramai juga yang datang bersama keluarga menghabiskan masa melepak dan pusing-pusing bandar tanpa faedah.

HALUAN Pahang sertai program `masih ada yang sayang`

HALUAN Pahang sertai program `masih ada yang sayang`

Menyedari dan merasai tanggungjawab akan perkara ini, maka JAIP dan Pejabat Kadhi Kuantan mengadakan program amal maaruf nahi mungkar yang turut dibantu oleh seramai 100 orang petugas sukarela daripada NGO Islam dan Badan Cegah Maksiat. Program yang dinamakan `Masih Ada Yang Sayang` ini bertujuan membenteras kelakuan yang melampaui batas syarak di kalangan orang Islam dengan memberi nasihat dan mengeluarkan saman, serta akan didakwa kerana menyalahi peraturan enakmen undang-undang syariah Pahang.

HALUAN Pahang telah mengambil inisiatif memberi nasihat dengan mengedarkan flyers kepada orang ramai mulai petang hingga ke malam. Usaha HALUAN Pahang ini telah diberi kebenaran oleh Kadhi Daerah Kuantan dan mereka amat mengalu-alukan usaha HALUAN ini. Dalam ucapan dan taklimat sebelum operasi bermula, Tuan Kadhi memberi arahan kepada semua petugas sukarela mengedarkan flyers yang telah disediakan oleh HALUAN ini.

Lebih mencabar lagi, HALUAN Pahang telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan majlis di dewan JAIP dengan memberi kaunseling dan motivasi kepada pasangan remaja yang telah ditangkap pada sebelah petangnya. Peluang ini telah dimanfaatkan sebaiknya oleh HALUAN dengan memberikan nasihat disusuli dengan tayangan slide dan video keinsafan terhadap bala yang menimpa akibat maksiat yang dilakukan.

YDP Haluan Pahang memberi kaunseling kepada remaja

YDP Haluan Pahang memberi kaunseling kepada remaja

Yang Di Pertua HALUAN Pahang, Tn Hj Tg. Abd. Rashid B. Tg Othman, memulakan bicara `masih ada yang sayang` dengan mengajak remaja mensyukuri nikmat Islam dan bersyukur kepada Allah kerana masih ada pihak yang sayangkan mereka dari terus bergelumang dengan dosa dan maksiat. Beliau turut mensihatkan agar remaja jangan terlampau ikutkan nafsu dan perasaan yang sentiasa menjurus kepada keburukan. Beliau mengajak remaja menginsafi hidup ini adalah untuk ibadah bukan disia-siakan dengan perkara yang bertentangan dengan kehendak agama.

Sesi ceramah disambung pula oleh Sdr Abd. Bashir yang menyampaikan tazkirah mengajak remaja melihat perjalanan hidup manusia sejak alam roh hingga alam akhirat agar mereka faham dan ikut jalan yang lurus bagi menyelamatkan mereka dari menerima azab dari Allah kelak. Ceramah disusuli dengan tayangan video dan slide yang membuatkan remaja teruja mendenganya.

Alhamdulillah, penglibatan pertama kali HALUAN dalam program ini telah memberi banyak pengalaman dan keinsafan kepada ahli HALUAN untuk merasai tanggungjawab menjalankan kerja amal maaruf yang wajib ini. Semoga usaha yang sedikit dari HALUAN ini telah memberi kesan besar kepada remaja yang `bertuah` ini agar mereka segera bertaubat dan menginsafi dosa dan tidak mengulangi lagi.

HALUAN merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Khadi Kuantan, Ustaz Hamdan Yusi b. Yusof khususnya dan JAIP amnya kerana merestui kerja–kerja dakwah dan amal maaruf nahi mungkar yang dijalankan oleh pihak HALUAN.

read more...

Monday, February 1, 2010

Profail

HALUAN adalah singkatan kepada Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 1988. Ianya merupakan sebuah NGO yang berteraskan kepada prinsip dan nilai Islam, mencurahkan bakti kepada setiap lapisan masyarakat yang memerlukan tanpa batas kepercayaan agama, bangsa, politik mahupun geografi.

Pada peringkat awal penubuhan, aktiviti HALUAN terbatas kepada usaha-usaha kebajikan untuk manfaat ahli-ahli. Di peringkat ini, aktiviti-aktiviti HALUAN tertumpu kepada program-program seperti seminar dan kaunseling pelajar dan remaja, pendidikan keluarga, kursus-kursus berkaitan ekonomi dan keusahawanan, dan juga kem-kem motivasi dan pengurusan. Walaupun aktiviti-aktiviti tersebut juga melibatkan masyarakat umum bukan dari kalangan ahli, ianya agak terbatas.

Sejak tahun 2002, dengan peningkatan keahlian dan kemampuan mereka terbentuk baik, HALUAN mula melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Perkembangan terancang ini melibatkan aktivis-aktivis HALUAN turun membantu mengubati masalah-masalah sosial, di samping bantuan-bantuan kepada masyarakat miskin, terbiar, anak-anak yatim, mereka yang ditimpa bencana dan seumpamanya. Usaha ini juga dapat memberi ruang kepada mereka yang mampu dan ikhlas dari kalangan masyarakat untuk menjadi relawan bersama HALUAN dengan usaha yang kemas dan tersusun.

ASPIRASI HALUAN – Berakhlak, Mendidik dan Berbakti
Sebagai perkumpulan graduan yang prihatin, HALUAN memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti bantuan pendidikan, bimbingan dan kemasyarakatan untuk memenuhi tanggungjawab asas kemanusiaan, di samping menunaikan kewajipan kepada Pencipta dalam membina masyarakat yang memahami dan menunaikan tanggungjawab, hidup dalam harmoni, berwawasan dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Oleh itu, ahli-ahli dan aktivis-aktivis HALUAN bersandar kepada motto mereka, iaitu ”berakhlak, mendidik dan berbakti”. Adalah menjadi aspirasi HALUAN untuk bersama masyarakat dalam apa juga bentuk aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan ruang-lingkup motto tersebut. Ahli-ahli HALUAN kini bertanggungjawab untuk bergerak ke hadapan, bersedia dan bangga untuk membantu, supaya sentiasa dirasai kehadiran mereka dalam masyarakat, tanpa unsur-unsur kemegahan atau kepentingan diri atau pihak-pihak tertentu.

Secara umumnya, objektif kepada aktiviti-aktiviti HALUAN adalah seperti berikut:

  • Membantu kerajaan dalam menangani masalah sosio-ekonomi terutama dalam aspek pembinaan keluarga bahagia, penyelesaian konflik keluarga dan remaja, saran keluarga tunggal, miskin dan anak yatim.
  • Mengekalkan semangat dan sifat prihatin dalam masyarakat Malaysia untuk menyumbang kepada keharmonian dan kerukunan masyarakat.
  • Menjadi bahan perantara penderma dan penerima derma.
read more...