Video

Friday, July 23, 2010

Program Malam Amal ‘Palestin Di Hati’ Berjaya Pupuk Kesedaran Pemuda

Kuantan, 18 Julai 2010 -- Program Malam Amal ‘Palestin di Hati’ anjuran Gabungan NGO Islam Pahang (Barakah) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kampus Kuantan di Auditorium UIAM Bandar Indera Mahkota telah berjaya dijalankan dengan lancar dan menarik penyertaan ramai golongan muda.

Auditorium yang boleh memuatkan 700 orang hadirin itu penuh, malahan pihak penganjur terpaksa membuka dewan kuliah bersebelahan bagi menampung kehadiran yang begitu ramai. Sambutan yang diterima amat menggalakkan, terutama daripada kalangan pelajar-pelajar institusi-institusi pengajian tinggi (IPTA dan IPTS) di sekitar Bandar Kuantan. Pengarah Kampus UIAM (kiri) bersama Timbalan YDP HALUAN Pahang

Pengarah Kampus UIAM (kiri) bersama Timbalan YDP HALUAN Pahang
HALUAN Pahang yang menjadi penyelaras utama program ini telah mendapat kerjasama yang baik dari beberapa NGO gabungan, termasuklah Jamaah Islah Malaysia (JIM), Aqsa Syarif, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Nadwah Islam Kuantan. Pihak tuan rumah iaitu UIAM melalui Pengarah kampusnya juga telah memberi sokongan padu dengan memberi kebenaran menggunakan auditorium beserta kemudahan-kemudahan teknikal yang lain.m


Pengisian program malam amal `Palestin di Hati` ini dipenuhi dengan ucapan aluan oleh Pengarah Kampus UIAM YBhg Profesor Dato' Kamarulzaman bin Su, ceramah perkongsian pengalaman bersama aktivis konvoi flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza, Sdr. Mohd Nizam Awang yang mewakili HALUAN Palestin, nyanyian nasyid oleh kumpulan Army pelajar dari UIAM, deklamasi sajak, ikrar pemuda, jualan amal, mini pameran Palestin dan juga kutipan tabung untuk Palestin. Pengisian yang paling hangat oleh kumpulan Shoutul Harokah daripada Indonesia dengan alunan nasyi-nasyidd perjuangan yang mengegar dewan dan mengetarkan hati para hadirin.

Menurut ketua penyelaras program, Sdr Abd. Bashir Abd. Ghani dari HALUAN Pahang, program ini sememangnya dirancang untuk generasi muda dari kalangan pelajar-pelajar IPT di sekitar Kuantan. Justeru itu semua yang mengambil bahagian, termasuklah pengacara, pembaca sajak, pembaca Al Quran, pembaca doa, wakil-wakil dalam membaca ikrar, adalah terdiri dari kalangan pelajar-pelajar. Mereka telah menunjukkan komitmen yang amat baik sehingga majlis dapat berjalan dengan lancar dan menarik perhatian semua hadirin.

Kehadiran hampir semua wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPT yang dijemput turut menambah erti majlis ini kerana mereka mewakili IPT masing-masing dan rakan-rakan mereka yang tidak dapat hadir. Diharapkan mereka akan dapat meneruskan usaha murni menggerakkan kesedaran pelajar untuk membantu perjuangan rakyat Palestin di kampus mereka.

Antara wakil-wakil IPT yang telah menghadiri program ini termasuklah MPP dari UIAM selaku tuan rumah, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Kolej IKIP, Kolej Shahputra, Kolej Islam Pahang (KIPSAS) dan Maahad Tahfiz Profesional Pahang.

Ceramah perkongsian pengalaman Sdr Mohd Nizam Awang disusuli tayangan video tragedi serangan tentera Zionis ke atas kapal-kapal konvoi telah menarik perhatian para hadirin. Mereka turut berkongsi kesedihan dan simpati atas tragedi ini di samping menyedari bahawa isu yang sebenar adalah isu penderitaan yang sedang dialami oleh rakyat Palestin, khususnya di Gaza, akibat kezaliman rejim Zionis. Mengakhiri ucapan, Sdr Mohd Nizam telah melancarkan kempen pendaftaran Kelab LL4G dan mengumumkan kutipan tabung untuk Palestin.

Alhamdulillah, lebih 100 orang telah mendaftar untuk menjadi ahli kelab Lifeline For Gaza (LL4G). Jumlah sumbangan para hadirin yang dermawan kepada tabung Palestin pada malam itu berjumlah sebanyak RM 7170.55

Majlis bertambah semarak dengan pembacaan ikrar perjuangan pemuda oleh semua wakil MPP IPTA/IPTS yang diketuai oleh Pengerusi MPP UIAM. Bait-bait lafaz ikrar perjuangan ini bergema dengan semua hadirin bangun untuk turut membaca ikrar. Antara lain, mereka berazam untuk terus mendidik dan mempersiapkan diri untuk menjadi pewaris kepada perjuangan membebaskan Palestin dari cengkaman rejim Zionis.

Paling menghiburkan hadirin, khususnya remaja dan pemuda, adalah sentuhan nasyid Shoutul Harokah dengan lagu-lagu pembangun jiwa dan peniup semangat sehinggakan mereka turut menyanyi bersama-sama. Para hadirin merasakan kehadiran mereka pada malam itu sungguh bertuah dan istimewa kerana acara yang dijalankan dapat menyedar dan membangkitkan semangat mereka untuk turut serta membantu perjuangan rakyat Palestin.

HALUAN Pahang yang menjadi urusetia utama program ini merasa bersyukur kerana program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan hasrat mengumpulkan pemuda dalam suatu majlis yang gemilang ini tercapai. Semoga usaha ini dapat menghasilkan natijah yang lebih besar, iaitu membentuk barisan pemuda yang sedar, insaf dan rela bersama membangunkan nilai-nilai kemanusiaan yang murni dan berteraskan akhlak Islam yang mulia ke dalam masyarakat.

Deklamasi Sajak oleh Puteri KIPSAS

Deklamasi Sajak oleh Puteri KIPSAS

Persembahan mantap Shoutul Harokah

Persembahan mantap Shoutul Harokah

Hadirin turut membaca ikrar perjuangan

Hadirin turut membaca ikrar perjuangan

Ikrar pemuda

Ikrar pemuda

read more...